Australia Akui Model Simulasi Awal Serpihan Hanyut Pesawat MH370 Beri Petunjuk Salah

SYDNEY – Model awal yang dibuat berdasarkan pergerakan arus mengenai kemungkinan serpihan pesawat MH370 akan dihanyutkan telah salah mengenal pasti Indonesia sebagai lokasinya.

 

Perkara itu disahkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, (ATSB).

 

ATSB yang mengetuai pencarian MH370 menjelaskan, model hanyutan yang dilaksanakan pada Jun 2014 mensasarkan serpihan pertama pesawat itu dijangka dihanyutkan ke perairan barat Sumatera pada minggu pertama Julai 2015.

 

“Kesilapan itu tidak menjejaskan pencarian di permukaan oleh pasukan pencari antarabangsa untuk mengesan pesawat itu di luar persisir Barat Australia.

 

“Pencarian itu dihentikan pada April, lebih sebulan selepas pesawat itu dilaporkan hilang,” ujarnya ATSB dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

Pada 29 Julai, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon ditemui di Pulau Reunion dan ia disahkan daripada pesawat boeing 777.

 

Minggu lalu, pihak berkuasa Australia dan pakar oceanografi bebas menyifatkan, kedudukan penemuan flaperon itu yang terletak kira-kira 3,700 kilometer daripada lokasi pencarian adalah konsisten dengan lokasi terakhir pesawat itu dilaporkan hilang berdasarkan kepada analisis arus laut, angin dan ombak.

 

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, Australia telah menghantar satu pasukan penyiasat ke Toulouse, Perancis untuk memeriksa flaperon yang ditemui berkenaan.

 

“Pemeriksaan itu dilakukan pihak berkuasa Malaysia dan Perancis bagi mengesahkan sama ada flaperon itu berasal dari pesawat MH370.

 

“Pegawai Malaysia dan Perancis itu dijangka memberikan kenyataan rasmi mengenai kesahihan sumber flaperon itu penghujung minggu ini,” ujarnya.

 

Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada March 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal.

 

Fokus pencarian tertumpu di Selatan Lautan Hindi. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.