Abby Abadi Bakal Berkahwin Buat Kali Ketiga

Kuala Lumpur – Bekas pelakon dan penyanyi yang menyertai Pas, Abby Abadi bakal berkahwin buat kali ketiga dengan wartawan kanan akhbar Harakah, Muhammad Faizal Zakaria.

 

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 38, dan Faizal, 41, bakal disatukan sebagai suami isteri pada 14 Ogos ini di Masjid Keramat manakala Majlis Kenduri Kesyukuran akan diadakan pada 16 Ogos.

 

Faizal atau dikenali Jai menjelaskan, dia mengenali Abby sebagai kawan biasa sejak 2012 dan menjalinkan hubungan lebih rapat tahun lalu selepas program Jelajah Harakah.

 

“Dalam program jelajah Harakah itu kebetulan saya menjadi Ketua Penganjur program dan Abby terlibat sama setelah dipilih menjadi Duta program pada Disember tahun lalu.

 

“Dari situ mula rapat sehinggalah mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya kepada FMT.

 

Abby mula dikenali di persada dunia hiburan apabila menganggotai kumpulan Elite di bawah naungan KRU.

 

Dia kemudian berkahwin dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum bercerai pada tahun 2008.

 

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai 11 bulan kemudian.

 

Abby antara pelakon utama drama kepolisan paling lama disiarkan di negara ini, Gerak Khas, terbitan artis veteran bertaraf jutawan, Datuk Yusof Haslam.

 

Dia kemudian meninggalkan dunia hiburan dan berhijab sepenuhnya serta aktif sebagai aktivis Pas. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.