Pemimpin PAS Pilih ADUN Ijok Calon MB Ganti Khalid

Shah Alam – Pemimpin PAS mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad dinamakan sebagai calon kompromi untuk memecah kebuntuan berhubung calon menteri besar Selangor.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina Sin Chew hari ini, PKR memilih doktor perubatan itu bagi mengakhiri krisis tersebut yang mungkin memecahkan Pakatan Rakyat (Pakatan).

Akhbar tersebut melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai bantahan sekiranya Dr Idris dijadikan menteri besar dan Istana Selangor dijangka tidak akan membantah sekiranya Adun Ijok itu dinamakan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok sebelum ini dipegang oleh Khalid sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih pilihan mereka untuk menggantikan Khalid.

Dr Idris yang mempunyai klinik di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dilihat sebagai pemimpin tanpa kontroversi dan dihormati pemimpin PKR dan menyertai politik semasa gerakan reformasi dulu.

Pemimpin PAS juga mengharapkan pemilihan Idris yang berasal dari Selangor akan melembutkan kedegilan Khalid untuk terus kekal berkuasa.

Sin Chew melaporkan, pemilihan Dr Idris akan melembutkan golongan konservatif PAS yang tidak boleh menerima wanita sebagai pemimpin negeri terkaya Malaysia itu.

Laporan tersebut mengatakan, kebimbangan utama PKR adalah tentangan daripada penyokong Timbalan Presiden PRK Mohamed Azmin Ali.

Krisis menteri besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam Pakatan selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau tidak.

Krisis bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.

Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

PAS sendiri berpecah dalam isu menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah kerana dua sebab: beliau seorang wanita yang menyebabkan beberapa pemimpin negeri tidak selesa dan beliau tidak boleh membuat keputusan kerana Anwar adalah suaminya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.