Hentikan Hina Agama, Kaum Di Media Sosial

Sandakan – Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengutuk agama dan kaum lain menerusi laman sosial supaya ia memberi pengajaran kepada mereka dan masyarakat keseluruhannya.

Kenyataan demikian dibuat oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Sipitang Sapawi Ahmad yang nyata bimbang dengan dengan sikap beberapa individu yang cuba menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

Perbuatan menghina agama orang lain bukan saja menggambarkan betapa pudarnya semangat 1Malaysia tetapi juga memperlihatkan kekalutan sikap yang boleh menjejaskan perpaduan sedia wujud, kata Bung Mokhtar di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di Sandakan kelmarin.

“Walaupun tidak dilakukan secara berkumpulan, namun kesannya tidak baik kepada negara kita.”

Memaki hamun agama dan kaum lain dalam Facebook bukan budaya Sabah

Sapawi, yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata revolusi IT sepatutnya membuka minda untuk rakyat terus maju, tetapi ada yang menyalahgunakannya hingga mencetuskan ketegangan.

Tindakan seperti memaki hamun agama dan kaum lain dalam Facebook bukan budaya orang Sabah, yang mengamalkan sikap tolak ansur serta saling menghormati sejak zaman nenek moyang, katanya di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya DUN Lumadan di Kampung Bangkalalak pada Ahad.

Beliau berkata mereka yang sengaja membangkitkan isu perkauman dan agama menunjukkan mereka mempunyai pemikiran yang buruk, kuno dan mundur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.