Exco Selangor Dari DAP, Dakwa Wakil Rakyat DAP Tidak Matang Politik

Petaling Jaya – Persengketaan para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) di Selangor yang sebelum ini hanya melibatkan PKR dan PAS kini telah menjadi ‘virus’ dan menular ke dalam DAP serta pemimpin-pemimpinnya.

Seorang pemimpin DAP yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim menempelak partinya sendiri kerana mengkritik kehadirannya dalam majlis menandatangani perjanjian industri air antara Selangor dan Putrajaya minggu lalu.

Menurut beliau, kritikan itu menunjukkan ketidakmatangan wakil rakyat DAP dalam politik.

“Mereka tidak dapat membezakan politik dan pentadbiran. Saya kasihankan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Adun Kinrara Ng Sze Han dan Ketua Publisiti DAP Selangor, Ronnie Liu sebelum ini mengkritik tindakan Teng secara terbuka dan menganggap tindakannya sebagai tidak menghormati partinya sendiri kerana hadir bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dalam majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Ng meluahkan kekecewaannya melalui status di laman Facebook miliknya dengan mempersoalkan tindakan Teng yang seperti sudah lupa tanggungjawab terhadap parti.

Liu pula mempersoalkan sama ada Teng mengetahui kandungan dan impak perjanjian itu terhadap Selangor, parti dan Pakatan Rakyat.

Namun Teng menjelaskan bahawa beliau tetap tegas dengan pendirian bahawa sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ng dan Liu perlu tunduk dan menghormati kedudukan jawatannya yang lebih tinggi berbanding mereka.

“Saya sebahagian dari CEC. Ng Sze Han tidak, jadi saya sebahagian dari pasukan yang membuat keputusan (untuk DAP).

“Dia tidak sampai ke status itu, tidak sepatutnya dia buat kenyataan tanpa pemahaman,” tegasnya.

Difahamkan bahawa mana-mana pemimpin yang dilihat selari dengan pendekatan Menteri Besar Selangor akan “diserang” oleh para pemimpin Pakatan Rakyat yang menyokong gerakan menggulingkan Khalid dari jawatan nombor satu di negeri tersebut.

Menurut laporan, Khalid dengan hati terbuka bekerjasama dengan kerajaan pusat Barisan Nasional untuk mengatasi masalah air di Selangor demi kepentingan dan masa depan rakyat di negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.