PRK Dun Sungai Kandis: Asyraf Wajdi Calon Boleh Menang Buat Umno kata NGO

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilihat sebagai calon yang paling layak untuk bertanding mewakili parti itu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar), Ab Jalil Backer melalui satu kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV berkata, pendekatan lama Umno memilih calon yang datang dari bahagian sudah tidak releven dengan situasi politik ketika ini.

“Umno perlu menukar cara dan pendekatan lama agar selari dengan landskap politik terkini, calon yang ingin diketengahkan perlu dilihat bersih, popular serta boleh diterima rakyat dan bukan terikat dengan kehendak bahagian.

“PRU14 jelas membuktikan pengundi tidak lagi peduli dengan sentimen ‘anak tempatan’ atau ‘calon luar’ kerana pada mereka apa yang penting wakil rakyat itu perlu mempunyai aura atau karisma yang tersendiri,” katanya.

Menurut Ab Jalil pemilihan Asyraf akan memberi signal yang kuat bahawa parti itu serius ingin membawa perubahan dan bukan hanya beretorik semata-mata.

“Soal calon anak luar, pernah kalah dan sebagainya tidak penting malah ahli Parlimen Kota Raja sendiri bukan anak tempatan dan selalu kalah dalam pilihan raya.

“Ini juga peluang untuk rakyat memberi sedikit kekuatan kepada pembangkang supaya kerajaan negeri hari ini tidak boleh bertindak semberono.

“Selain Asyraf, UMNO boleh mempertimbangkan Khairy Jamaluddin yang dikatakan popular di kalangan anak muda bandar.”

Satu pilihanraya kecil bakal diadakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pukul 11.10 pagi semalam akibat kanser limfoma.

Shuhaimi 50, dipilih menjadi ADUN Seri Muda pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 serta PRU-14 selepas nama DUN itu ditukar kepada Sungai Kandis apabila berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor awal tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor menang kerusi Sungai Kandis apabila menewaskan tiga pencabarnya iaitu Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari, Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.