Mayat Wanita Dikerat Ditemui Dalam Beg Di Tebing Sungai Gombak

KUALA LUMPUR – Satu mayat ditemui dalam keadaan mengerikan berikutan dikerat kepada beberapa bahagian sebelum anggota badannya dimasukkan dalam dua bagasi berasingan dan diletakkan di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Difahamkan, mayat berkenaan yang dipercayai wanita, ditemui dalam dua bagasi berasingan selepas satu daripadanya ditemui seorang lelaki sedang menyiram pokok yang terlihat kaki terkeluar dari sebuah bagasi itu.

Pemeriksaan polis di lokasi menemui sebuah lagi bagasi terletak kira-kira 50 meter dari lokasi bagasi pertama yang ditemui lelaki berkenaan.

Pihak polis turut menemui sebuah bagasi mengandungi pakaian di tebing bersebelahan dengan lokasi penemuan bagasi pertama, namun disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Pemeriksaan terhadap bagasi pertama menemui bahagian tangan, kaki dan kepala, manakala bagasi kedua pula mengandungi bahagian badan.

Pihak bomba turut berada di lokasi bagi membantu polis membawa keluar mayat berkenaan kira-kira jam 2 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada dua lelaki dan seorang wanita dipercayai gelandangan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada anggota badan yang ditemui dalam kedua-dua bagasi berkenaan adalah daripada individu yang sama.

“Malah, identiti dan jantina mayat berkenaan belum dapat dikenal pasti secara sah,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Tambah Rudy, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta membuat laporan di balai polis berhampiran. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.