Laporan Bank Dunia Sangkal Dakwaan Hutang Negara Tinggi – Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Laporan Bank Dunia yang menyifatkan hutang negara masih terkawal dan tidak akan menjerumuskan Malaysia ke dalam krisis membuatkan tidak ada alasan untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdolak dalih.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Dr Richard Record menerangkan negara masih berisiko rendah kerana sebanyak 97.7 peratus daripada jumlah hutang adalah dalam denominasi ringgit.

Katanya, ia turut memberi maksud risiko dari segi pendedahan kepada tukaran asing juga adalah terhad selain hampir 70 peratus daripada hutang negara adalah hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi tiga tahun.

“Naratif hutang negara yang kerap dibentangkan Menteri Kewangan tidak menggambarkan keadaan ekonomi negara yang menyeluruh.

“Gambaran tentang hutang negara tanpa memasukkan unsur risiko rendah atau terhad ini adalah tidak lengkap dan boleh disifatkan tidak bertanggungjawab.

“Ia seolah-olah dengan sengaja ingin memburuk-burukkan imej Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini memartabatkan prestasi ekonomi sehingga diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kewangan seharusnya membentangkan dengan lebih menyeluruh dan mendalam akan kedudukan hutang negara serta seteruk manakah perkara itu dengan mengulas tentang risiko kebankrapan secara objektif dan realistik.

“Alasan hutang negara semakin meningkat juga hanyalah alasan bagi mengelak atau menangguhkan pelaksanaan beberapa manifesto PH yang sebelum ini, sudah kerap diulas bahawa manifesto PH adalah terlalu populis dan dibuat tanpa mengambil kira kemampuan negara untuk melaksanakannya.

“Maka, dengan terbitnya laporan Bank Dunia ini membuktikan bahawa keadaan ekonomi Malaysia khususnya aspek kadar dan tanggungan hutang serta risiko terhadnya berada dalam keadaan baik dan terurus, maka sudah tidak ada alasan untuk Kerajaan PH berdolak dalih,” katanya.

Katanya, alasan hutang negara yang tinggi sebagai justifikasi keperluan Tabung Harapan juga adalah tidak munasabah.

“Kewujudan Tabung Harapan ini, sekalipun dibuat tanpa paksaan dan menjadi inisiatif rakyat sendiri, seolah-olah mencerminkan situasi hutang negara amat meruncing dan terlalu kritikal.

“Ini sekali lagi menjadi satu tindakan yang kurang wajar kerana, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tidak sepatutnya membenar dan menyokong inisiatif yang boleh menakut-nakutkan sesetengah rakyat dengan gambaran ekonomi dan hutang yang tidak tepat,” tambahnya. – BH

One thought on “Laporan Bank Dunia Sangkal Dakwaan Hutang Negara Tinggi – Khaled Nordin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.