Video : Wajib Lulus BM Jadi Pegawai Perubatan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menjelaskan wajib bagi siswazah perubatan mengikuti kursus doktor pelatih di hospital kerajaan dengan syarat lulus subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini dan pengumuman rasmi akan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan umum kelonggaran syarat lulus subjek itu untuk pekerja perubatan lantikan kontrak, iaitu pelatih perubatan bagi membolehkan graduan perubatan yang tidak lulus BM peringkat SPM berkhidmat, membolehkan mereka memperoleh sijil penuh pegawai perubatan siswazah.

“Jemaah menteri sudah berbincang supaya kesemua siswazah ini wajib lulus Bahasa Malaysia sebelum mereka di lantik sebagai pegawai perubatan di sini.

“Selepas ini kita akan bantu mewujudkan peperiksaan (single subjek) bagi Bahasa Malaysia sahaja untuk membantu kumpulan ini,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau mengulas isu ini berlaku disebabkan terdapatnya segelintir kumpulan kecil (anak-anak Duta di luar negara) yang mempunyai sistem pendidikan di luar negara dimana mereka tiada peluang untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu untuk SPM.

“Namun mereka mempunyai kelulusan untuk menjadi doktor di satu kolej yang diiktiraf dan pulang untuk berkhidmat di dalam negara dan mahu mengikuti latihan sebagai pegawai perubatan siswazah yang diwajibkan di dalam sistem perundangan.

“Kerana itulah JPA telah mengumumkan supaya dapat mengambil siswazah ini secara kontrak dengan syarat kena luluskan Bahasa Malaysia semasa latihan itu seperti mana yang dilakukan.

“Jadi apa yang berlaku seolah-olah kita memberikan peluang kepada semua orang 4,500 siswazah namun hanya 23 orang yang terlibat dalam (kes) seperti ini malah 11 daripadanya adalah anak muda Melayu kerana keluarga mereka telah berkhidmat di luar negara.

“Namun itu tidak bererti mereka tidak boleh berbahasa Melayu. Tetapi ini kerana mereka mengikuti sistem pendidikan berbeza semasa berada di negara yang lain,”katanya.

Difahamkan, sejak 1 Oktober tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melantik pelatih gred UD-41 secara kontrak, tetapi calon masih perlu lulus subjek BM peringkat SPM. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.