Tuduh-Menuduh Dalam PPBM Tanda Krisis Dalaman Semakin Serius

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bergaduh. Mereka saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

Melihat kepada perkembangan ini, kita boleh lihat dengan jelas bagaimana PPBM kini semakin bergolak dan pergolakan itu tidak boleh disangkal lagi.

Ia bertambah buruk apabila masing-masing menggunakan media untuk membuat tuduhan berkenaan. Dalam kes terbaru ini, Hamidah mahu Syed Saddiq dikenakan tindakan disiplin kerana membuat tuduhan tanpa asas ke atasnya.

Hamidah mahu Syed Saddiq mengemukakan bukti bahawa beliau menjadi dalang di sebalik tindakan 1,000 ahli PPBM di Perak yang keluar parti sebelum ini.

“Saya tahu dia (Hamidah) punca keadaan ini. Saya akan berkata secara terus terang: Saya mahu Hamidah letak jawatan.

“Dia perlu berhenti jadi pengecut dengan menghantar askarnya ke depan dan mengorbankan orang yang baik bagi tujuan peribadi.

“Jika anda masuk parti untuk jawatan, sila berambus,” demikian kata Syed Sadiqq ketika membuat tuduhan berkenaan.

Sebelum ini, Syed Saddiq telah memaklumkan bahawa Exco Pemuda PPBM, Muhammad Hafiz Azhar bakal menghadapi tindakan disiplin selepas mempersoalkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam parti itu.

Ini kerana pendapat yang disuarakan itu tidak dilakukan menerusi saluran yang betul. Namun kali ini, Syed Saddiq pula tidak menggunakan saluran yang betul apabila membuat tuduhan terhadap Hamidah.

Malah Syed Saddiq juga tidak memberikan bukti terhadap tuduhannya itu. Jika Muhammad Hafiz bakal berdepan tindakan disiplin maka keadaan sama juga kini bakal berlaku ke atasnya.

Episod drama dalam PPBM ini telah memberikan gambaran bahawa keadaan dalam parti itu sedang bergoncang. Tuduh-menuduh itu menunjukkan keadaan sebenar masalah yang dialami dan betapa celarunya parti itu ketika ini.

Baru dalam parti, sudah kucar-kacir, bayangkanlah jika mereka memerintah negara.