Rumah Panjang Hampir Musnah Akibat Main Masak-Masak

BINTANGOR – Tindakan dua kanak-kanak yang bermain api di dalam sebuah bilik tidur hampir memusnahkan sebuah rumah panjang dua tingkat di Nanga Serau, Julau, kira-kira 40km dari sini hari ini.

Ketika kejadian pada tengah hari tadi di Rumah Ugap sepanjang 32 pintu itu, kanak-kanak terbabit dipercayai sedang bermain masak-masak di bilik tidur tingkat atas rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata penghuni rumah panjang itu bernasib baik apabila menyedari kejadian itu dan berjaya memadamkan api dengan menggunakan lima alat pemadam api dan pam air sebelum anggota bomba tiba.

“Kejadian itu mengakibatkan bilik tidur rumah panjang itu mengalami kebakaran 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.01 tengah hari dan sepasukan anggota bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian, tiba 30 minit kemudian.

Pasukan bomba menghadapi kesukaran melalui jalan sempit sepanjang 10km dari simpang jalan utama ke rumah panjang itu yang hanya untuk kenderaan ringan sahaja, katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.