Qatar Kemuka Jawapan

DOHA – Qatar kelmarin memberikan jawapan terhadap 13 tuntutan oleh Arab Saudi dan sekutu-sekutunya selepas mereka memberi tempoh lanjutan 48 jam kepada Doha untuk mengemukakan maklum balas.

Menurut AFP, Butiran maklum balas itu belum didedahkan kepada media, namun seorang pegawai Teluk memberitahu agensi berita AFP bahawa Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani telah menyerahkan jawapan Doha ketika lawatan singkat beliau ke Kuwait, lapor Kosmo.

Kuwait bertindak sebagai orang tengah dalam krisis itu.

Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir mengumumkan awal kelmarin bahawa mereka telah menangguhkan tarikh akhir untuk Qatar bersetuju de­ngan 13 tuntutan yang dikemukakan kepada Doha pada 22 Jun lalu.

Antara tuntutan itu termasuk Doha menamatkan sokongan kepada gerakan Ikhwanul Muslimin, menutup stesen televisyen Al-Jazeera, merenggangkan hubungan diplomatik dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki di Qatar.

Sebelum ini, Sheikh Mohammed berkata, senarai tuntutan itu ‘dibuat untuk ditolak’, manakala kelmarin, peguam-peguam Britain mewakili Qatar mengecam tuntutan terbabit sebagai “penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa”.

“Mereka mengingatkan kembali tentang tindakan melampau dan punitif oleh negara ‘pembuli’ yang berdasarkan sejarah, akan mencetuskan perang,” kata peguam-peguam tersebut.

Pada petang kelmarin Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berharap Qatar akan memberikan maklum balas positif supaya krisis itu dapat diselesaikan.

Jawapan Qatar akan diperiksa dengan teliti’, kata Adel dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Sigmar Gabriel di Jeddah.

Arab Saudi dan sekutu-sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar pada 5 Jun lalu sekali gus mencetuskan krisis diplomatik terburuk di rantau Teluk dalam tempoh beberapa dekad.

Mereka menuduh Qatar menyokong keganasan dan terlalu rapat dengan Iran, musuh serantau Arab Saudi, namun Qatar menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.