Khairul Hafiz Jadi Sandaran Malaysia Raih Emas 100M Sukan Sea

KUALA LUMPUR – Selepas kali terakhir Malaysia meraih emas acara 100 meter lelaki Sukan SEA 14 tahun lepas, harapan besar kini disandarkan kepada raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

Harapan itu bukan sahaja untuk meraih emas acara riben biru itu, malah untuk turut memecahkan rekod Sukan SEA milik Suryo Agung Wibowo  dari Indonesia yang mencatatkan 10.17 saat pada Sukan SEA Laos pada 2009.

Misi pingat emas dilihat tidak mustahil buat pelari berusia 18 tahun itu yang telah memecahkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek (10.30s) di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada Julai tahun lepas dengan catatan 10.18s,  hanya 0.01s ketinggalan berbanding rekod Sukan SEA.

Malaysia yang kali terakhir meraih emas menerusi Nazmizan Muhammad yang mencatatkan 10.48s di Sukan SEA 2003 di Vietnam, dilihat turut berpeluang menyapu pingat emas dan perak acara 100m dan emas acara rampaian 4x100m lelaki berikutan peningkatan prestasi atlet pecut muda negara.

“Saya memang mahu melakarkan satu kejutan pada penampilan pertama saya di Sukan SEA dengan memecahkan rekod. Sebelum itu, saya perlu mendapatkan catatan sekitar 10.20s pada masa ini supaya dapat mencapai puncak pada Ogos untuk memecahkan rekod,” katanya kepada Bernama.

Catatan terbaik Khairul Hafiz bagi musim ini ialah 10.31s di Terbuka Thailand berbanding pencabar terdekat dan juara bertahan Sukan SEA, Eric Cray dari Filipina yang melakukan catatan 10.27s dalam satu kejohanan di Amerika Syarikat, yang hanya 0.02s perlahan berbanding masa yang dicatatkannya untuk meraih emas di Singapura, dua tahun lalu.

Pencabar lain berpotensi untuk memberikan saingan kepada Khairul Hafiz, yang menerima gelaran ‘The Flying Youth’ ialah pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Jirapong Meenapra dari Thailand dan Yaspi Boby dari Indonesia.

Selain itu, seorang lagi pelari pecut negara, Jonathan Nyepa turut dilihat bakal memberi saingan kepada Khairul Hafiz pada Sukan Sea nanti. Catatan terbaharu Jonathan ialah 10.28s di Terbuka Korea pada Jun lepas.

Selain Khairul Hafiz dan Jonathan, prestasi Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy turut menunjukkan tanda-tanda positif buat Malaysia untuk tampil menguasai acara-acara seperti 100m, 200m dan 4x100m lelaki selepas sekian lama di peringkat rantau Asia Tenggara.

“Bagi saya ia bukan tekanan tetapi satu cabaran, lebih-lebih apabila bakal beraksi menentang Cray nanti. Saya akan meningkatkan fokus, dengar nasihat jurulatih dan terus memperbaiki kelemahan yang ada,” kata Khairul Hafiz.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim tampak yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memecahkan rekod Sukan SEA itu.

“Kita memang dah bersedia dengan fokus 100 peratus terhadap Sukan SEA dan persiapan berada di tahap terakhir sekarang. Kita berazam untuk pecahkan 10.16s dan saya yakin Khairul dapat melakukannya,” katanya.

Gambaran awal dapat diperoleh pada Kejohanan Asia (ATF) di India bermula Khamis ini, apabila kebanyakan atlet dari Asia Tenggara bakal berentap, selain Terbuka Malaysia pada 17 dan 18 Julai ini.

Namun, bagi ketua jurulatih olahraga kebangsaan Zainal Abas, ketiadaan pengalaman di pentas Sukan SEA merupakan antara cabaran yang perlu diatasi oleh Khairul Hafiz untuk mencapai misinya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.