Kelonggaran Syarat Lulus BM Cabar Kedudukan Bahasa Kebangsaan – Idris Haron

Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 disifatkan seakan mencabar kewibawaan, kedudukan dan keistimewaan bahasa kebangsaan itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan atau disentuh kerana Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia merupakan salah satu elemen di dalam perlembagaan negara.

Beliau berkata Bahasa Melayu telah terbukti sebagai ‘lingua franca’ yang dituturkan lebih daripada 300 juta orang di seluruh negara dan menjadi salah satu medium komunikasi yang tidak dipertikaikan.

“Saya tidak nampak alasan mengapa Bahasa Melayu perlu diketepikan dalam soal kita hendak memenuhkan ruang kosong (jawatan) dalam Kementerian Kesihatan sama ada di hospital kerajaan atau swasta di negara ini.

“Bahasa adalah jiwa bangsa dan saya berpegang pada prinsip hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 2 Julai lepas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarat lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM dilonggarkan bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Katanya kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti, dan beberapa kategori lain.

Mengulas lanjut, Idris berkata sebagai pengamal perubatan yang merupakan warganegara Malaysia, seseorang itu harus mempunyai keupayaan berbahasa Melayu dengan baik tidak kira mereka mempunyai kelulusan ijazah dari dalam atau luar negara.

Beliau berkata kriteria itu juga penting bagi memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negara ini yang memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Umni, Senator Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata kelonggaran syarat syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) di peringkat SPM bagi tujuan lantikan secara kontrak Pegawai Perubatan UD41 di Kementerian Kesihatan mampu mengganggu gugat kedudukan BM sebagai Bahasa Kebangsaan di negara ini.

Menurutnya, BM sebagai Bahasa Kebangsaan telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 161 dan Artikel 152 yang diguna pakai sama ada melalui medium urusan kerajaan atau lain-lain agensi di Malaysia.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, berhubung isu berkenaan.

“Jika Bahasa Melayu ini boleh dipermainkan sekarang, sudah pasti banyak lagi perkara di dalam Perlembagaan Malaysia akan disentuh dan dihapuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Seharusnya, sebagai pemimpin di peringkat tertinggi kementerian harus meneliti dan mengkaji kesan sesuatu keputusan itu dilaksanakan terutama apabila melibatkan perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh diubah sesuka hati kerana kesannya akan berlaku pada 10 atau 20 tahun akan datang.

Katanya walaupun penguasaan Bahasa Inggeris penting bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan terutama bagi mencapai Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), ia bukanlah alasan untuk golongan doktor perubatan tidak menguasai BM kerana masih ramai rakyat di negara ini yang tidak fasih berbahasa Melayu termasuk anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan anggota Parlimen.

Ibrahim Shah berkata penguasaan BM bukan hanya terhad kepada komunikasi tetapi pihaknya yakin jika ilmu sains dan kedoktoran dapat dikuasai dengan baik dalam bahasa kebangsaan, ia akan mampu melahirkan ramai doktor profesional dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata penguasaan BM sudah pasti menjadi lebih penting kepada mereka yang akan berkhidmat sebagai penjawat awam lebih-lebih lagi golongan perubatan kerana mereka akan menjadi barisan hadapan berkhidmat kepada rakyat.

“Kita mampu melahirkan generasi pengamal perubatan yang lebih mesra kepada rakyat di negara ini terutama penduduk di luar bandar yang kurang fasih dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

“Pelaksanaan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ harus terus dipupuk seiring dengan kemajuan teknologi agar rakyat Malaysia terus disegani dan dihormati bukan sahaja dalam negara, malahan disanjungi masyarakat dunia,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu negara hanya bergantung kepada Bahasa Inggeris dan lebih memalukan jika bahasa rojak diguna pakai dalam komunikasi generasi anak muda akan datang.

Katanya Malaysia telah mempunyai identiti dan acuan tersendiri di dalam kepimpinan di peringkat tertinggi negara, namun tindakan berkenaan mampu merosakkan generasi akan datang selain akan merencatkan perjalanan dan proses pembangunan di negara tercinta ini.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.