Isu Radar Tentera: SPRM Ambil Keterangan 6 Individu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor baru-baru ini.

Menurut sumber, mereka yang diambil keterangan terdiri daripada Jabatan Polis Bantuan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan pegawai kastam yang bertugas di pelabuhan tersebut.

“Kesemua mereka yang berusia antara 37 dan 48 tahun hadir di Pejabat SPRM Johor kira-kira 11 pagi tadi untuk memberi keterangan.

“SPRM juga dalam proses meneliti beberapa dokumen berkaitan yang diperoleh daripada pihak pelabuhan berhubung kejadian tersebut,” kata sumber itu kepada Bernama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

”SPRM kini dalam proses mengenal pasti sekiranya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

“Selain itu, SPRM akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata kemungkinan lebih ramai akan dipanggil sekiranya perlu, bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris melaporkan kontena itu yang tiba dari Australia mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit hilang ketika transit di pelabuhan berkenaan.

 

Laporan akhbar itu yang memetik sumber berkata, barang terbabit sepatutnya dihantar ke Belanda melalui negeri ini, namun, ia tidak mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan ia ditahan.

Menurut laporan akhbar itu lagi, semua peralatan ketenteraan yang dibawa masuk dan keluar dari mana-mana pelabuhan di negara ini memerlukan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.