Fauziah Nawi Akui Tersentap Dengan Anak Sendiri

Sekalipun memiliki keperibadian tegas, pelakon Fauziah Nawi meluahkan kadang-kadang berasa berjauh hati malah terluka perasaan apabila pertama kali bekerja dengan anak sendiri.

Katanya, naluri sebagai seorang ibu kadang-kala tidak dapat dipinggirkan apabila perlu memuaskan hati anaknya, Pitt Hanif, ketika menjayakan telefilem Kembalikan Syawalku.

“Kadangkala saya terluka dan cepat tersentap sebab dia (Pitt) terlalu tegas. Sampaikan ada masanya saya tertanya-tanya: apa lagi yang dia mahukan?

“Tetapi lama kelamaan, saya sedar situasi dihadapi itu bukanlah seperti di rumah, kerana dia adalah pengarah di lokasi ketika itu. Sebagai pelakon, saya kenalah dengar cakap dia,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Fauziah, 64, situasi tegang dialami di lokasi tidak terjadi sewaktu mereka anak-beranak berada di rumah.

Katanya, keadaan ketika di rumah pula berbeza sama sekali apabila dirinya selalu diibaratkan seperti seekor harimau oleh anak-anaknya.

“Di rumah tidak boleh begitu kerana selaku mak, selalunya saya beranggapan selalu betul dan dia kenalah mendengar cakap saya,” katanya.

Tak salah minta maaf

Menurut Fauziah, dalam terasa hati dengan kerenah anak-anak, selagi boleh perkara sebegitu tidak akan dibiarkan berlanjutan hingga menggugat hubungan mereka.

Katanya, kalau timbul perkara tidak disenangi, dia akan cuba memujuk hatinya untuk tidak mengeruhkan keadaan kerana tidak mahu musibah menimpa anak-anaknya nanti.

“Saya pernah dengar ada ustaz memberitahu, jika seorang mak memarahi anak terlampau teruk hingga menangis itu bermakna dia menindakkan anaknya itu untuk masuk ke syurga.

“Hal itu membuatkan saya takut dan cuba tahan daripada menangis sekalipun berkecil hati. Dan saya sering berkata-kata dengan Allah, saya tidak memarahi mereka,” katanya.

Bagi Fauziah, dalam keterlanjuran perlu ada kemaafan. Justeru apabila perlu, seorang ibu yang berbuat kesilapan wajar meminta maaf daripada anak-anak.

Begitu juga sebaliknya, untuk seorang anak yang telah melukakan hati seorang ibu.

“Saya sering meminta maaf kepada mereka hingga anak-anak meminta saya berhenti berbuat demikian.

“Apa salahnya jika saya meminta maaf kerana dengan cara itu mereka boleh mengambil sikap terbuka dengan saya apabila timbul sesuatu perkara tidak disenangi,” katanya.

Selain Fauziah, telefilem terbitan Arie Production Sdn Bhd yang ditayangkan pada 24 Jun lalu itu turut dijayakan dua lagi pelakon popular, Sabri Yunus (gambar) dan Fatimah Abu Bakar.

Kembalikan Syawalku dilengkapkan lagi dengan gandingan bakat muda seperti Syafie Naswip dan Sharifah Amani.

Telefilem yang menjalani penggambaran di Batu Gajah, Perak itu memberi fokus utama kepada kisah Akil (Syafie) yang tidak dapat menerima kenyataan setelah mengalami lumpuh dari pinggang hingga ke bahagian bawah badan.

Mak Chah (Fauziah) menggalas beban untuk menenangkan dan menjaga Akil siang dan malam di hospital.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.