PM Wajar Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap WSJ – Ahmad Zahid

TELUK INTAN – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sewajarnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal (WSJ) bagi membersihkan nama beliau dan imej negara.

 

Beliau berkata ini kerana laporan WSJ yang mendakwa kira-kira RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah dakwaan yang melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.

 

“WSJ sebagai institusi media yang berpengaruh dan dihormati di dunia seharusnya mengemukakan bukti yang kukuh sebelum melemparkan tuduhan berat sebagaimana yang terpapar dalam beritanya.

 

“Tindakan WSJ yang mendahului siasatan yang sedang dijalankan sememangnya hanya bertujuan mensensasikan berita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hilir Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini Sabtu.

 

Katanya dalang dalam penyebaran maklumat tidak tepat itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan tindakan undang-undang perlu diambil.

 

“Kita sedia maklum bahawa Jabatan Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sedang menyiasat isu 1MDB. Justeru, semua pihak perlu menunggu hasil siasatan sebelum membuat sebarang penilaian.

 

“Kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk berbincang dengan peguam beliau ataupun Peguam Negara yang boleh dilakukan atas kapasiti sebagai individu atau perdana menteri,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut perundangan dan akta sedia ada terhadap media yang menyiarkan maklumat tidak tepat atau daripada sumber yang tidak sah yang bertujuan menjatuhkan maruah kerajaan dan negara.

 

Beliau berkata undang-undang berkaitan perbankan di negara ini tertakluk kepada Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

 

“Maklumat yang ada dalam rahsia perbankan tidak seharusnya keluar apatah lagi berita itu datangnya daripada dokumen yang tidak disahkan oleh pihak bank. Ini di luar daripada etika kewartawanan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.