Laporan WSJ Melampau, Sukar Diterima, Kata Penganalisis Politik

SHAH ALAM – Pemerhati politik melihat laporan media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) sukar diterima dan melampau apabila menyiarkan berita mengenai dakwaan penyaluran sejumlah dana ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa membuat semakan kesahihan maklumat yang diterima.

 

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, transaksi melibatkan jumlah wang yang besar sepatutnya dalam pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak boleh berlaku sesuka hati.

 

“Untuk wang sebanyak itu disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri, ini bagi saya sukar untuk diterima. Apatah lagi dalam jumlah sebesar itu, Bank Negara mesti tahu transaksi ini.

 

“Pada masa sama, WSJ sebagai sebuah media yang ada wibawa tidak akan menyiarkan sesuatu sesuka hati kerana ia perlu mempertahankannya,” katanya kepada Sinar Online.

 

Sehubungan itu, beliau melihat tindakan saman merupakan satu langkah paling tepat buat masa ini dalam rangka membersihkan nama Presiden Umno itu.

 

“Jadi dalam konteks ini, bagi membersihkan namanya, perdana menteri tidak mempunyai pilihan kecuali mengheret mereka ke muka pengadilan sama seperti yang dilakukannya terhadap media tempatan dan pemimpin tempatan yang beliau anggap mencemarkan nama baik beliau.

 

“Hanya mahkamah sahaja dapat membersihkan nama beliau. Ini ujian penting untuk menguji sama ada laporan itu berdasarkan fakta atau tidak kerana kesahihan itu dapat dibuktikan oleh mahkamah,” katanya.

 

Katanya, laporan tersebut jelas mencemar imej Najib dan negara ini.

 

“Ia bukan sahaja dilaporkan oleh WSJ tetapi turut dibincangkan dalam stesen TV antarabangsa.

 

“Dengan liputan begitu negatif terhadap beliau, tak dapat dinafikan lebih-lebih lagi berkaitan soal penyelewengan wang, pasti akan mencemarkan imej beliau dan negara. Seolah-olah negara ini penuh dengan kes rasuah. Diburukkan lagi dengan kes di Australia itu,” katanya.

 

Sementara itu, Prof Datuk Abdul Halim Sidek pula berpendapat, WSJ seharusnya menyemak segala maklumat yang diperolehi sebelum menyiarkannya bersesuaian dengan reputasi agensi berita itu.

 

“Tindakan WSJ ini memang sudah melampau. Sebagai sebuah agensi berita tersohor yang dikenali dengan memiliki pasukan penyiasat dan wartawan yang hebat, sepatutnya buat semakan rapi sebelum siarkan mengenai seseorang terutama sekali ketua kerajaan.

 

“Tindakan Najib untuk saman tepat. Sebab jika tidak, kita tidak nampak tegas. Najib sudah bersabar begitu lama. Telah sampai masanya beliau buat tindakan tegas iaitu saman WSJ,” katanya.

 

Manakala Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman berpandangan agensi berita tersebut perlu mengemukakan bukti sumber maklumat tersebut.

 

“Kita tak pasti sumber apa yang digunakan. Sepatutnya WSJ tunjukkan pada kita, dari mana sumber maklumat itu. Jika tidak, perdana menteri berhak mengambil tindakan kepada WSJ untuk mengembalikan integriti dan imejnya yang sedikit tercalar akibat laporan WSJ itu.

 

“Kita harap beliau ambil tindakan secepat mungkin kerana ia melibatkan keyakinan rakyat, pelabur asing, syarikat antarabangsa dan sebagainya kerana jumlah yang dilaporkan itu bukan sedikit,” katanya.

 

Mengulas soal desakan parti-parti pembangkang supaya Najib meletakkan jawatan atau bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan penuh, beliau berpendapat desakan itu masih terlalu awal.

 

“Beliau belum disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa, cuma tuduhan oleh media asing. Jadi, saya rasa masih terlalu awal untuk minta dia letak jawatan atau bercuti,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.