UMcedel : Pengurusan Ada Hak Mutlak Tamatkan Kontrak – Prof Redzuan

Shah Alam – Profesor Datuk Dr Redzuan Othman yang digugurkan daripada jawatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) mengakui pengurusan universiti itu mempunyai hak mutlak untuk mengambil tindakan sedemikian.

Beliau berkata, kakitangan universiti adalah kakitangan kerajaan yang tertakluk kepada arahan kerajaan.

Hak universiti itu bukan isu namun baginya, beliau tidak pasti apakah alasan yang menyebabkan beliau dipecat sebelum kontraknya tamat.

“Orang lain dilantik dan saya ditamatkan khidmat. Saya tidak pasti apa kategorinya.

“Isunya mengapa jawatan ditamatkan? Takkanlah menteri hendak keluarkan surat suruh letak jawatan berserta alasan dan maklumatnya sekali,” katanya.

Mac lalu, Dr Redzuan diminta meletakkan jawatan sebagai Pengarah UMcedel berikutan kononnya kementerian tidak berpuas hati dengan tinjauan bebas dan kajian mengenai suasana politik Malaysia yang dijalankan oleh profesor berkenaan.

Turut dilaporkan, khidmat ahli akademik itu sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Jabatan Sains Sosial juga tidak diperbaharui.

Langkah penamatan kontrak profesor itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap keputusan kaji selidik dan tinjauan UMcedel yang didakwa menunjukkan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan tidak baik.

Bagaimanapun, Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd Amin Jalaluddin menafikan pengguguran itu disebabkan campur tangan pihak luar atau bersifat politik.

Mohd Amin sebaliknya berkata keputusan itu mengambil kira persaraan Redzuan pada tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Dr. Redzuan menjelaskan, beliau tidak meletakkan jawatan tetapi dipecat sebelum kontraknya tamat.

Katanya, alasan yang mengatakan jawatan beliau sebagai Pengarah UMcedel tidak disambung kerana beliau akan bersara tahun depan adalah tidak benar kerana kontraknya akan tamat hujung tahun ini.

“Kontrak saya sebagai Pengarah UMcedel tamat hujung tahun ini. Saya belum bersara lagi (waktu itu). Pada 30 Mac 2014, saya terima surat bahawa jawatan saya digantikan dengan Dr Amer (Saifude Ghazali),” katanya.

Beliau berkata, beliau menerima surat pelantikan sebagai Pengarah UMcedel pada 28 Disember 2013 bagi tempoh 2 Januari 2014 hingga 31 Disember 2014.

Bagaimanapun, beliau akan terus memberikan khidmatnya termasuk kepada UMcedel walaupun tidak lagi menjadi pengarah di situ jika diperlukan.

“Saya akan terus memberikan khidmat kepada UMcedel jika diperlukan, walaupun bukan sebagai pengarah,” jelasnya.

Sebelum ini bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM berikutan pengguguran Dr. Redzuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.