Jihad : Salah Tafsir Punca Terpengaruh Dengan Militan

Sepang – Salah tafsir terhadap ayat-ayat al-Quran mengenai jihad menjadi punca golongan tertentu terdorong bertindak ekstrim yang akhirnya terlibat dengan kegiatan militan di negara-negara bergolak.

Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, walaupun jihad adalah perkara yang diketahui umum dan menjadi tuntutan kepada umat Islam namun cara dan kaedah untuk berjuang adalah amat penting agar menepati konsep jihad mengikut landasan syarak.

“Ia bukan satu hal yang kita katakan sesuka hati untuk kita membuat tafsiran, nas al-Quran ada syarat-syarat dan kaedah-kaedah untuk terjemahan untuk tafsiran.

“Jadi penyelewengan terhadap nas al-Quran akan menjadikan manusia ekstrim.

“Bukan tidak ada jihad, jihad ada, satu tuntutan, satu kewajipan setiap individu muslim untuk berjihad, cuma kriteria, kaedah dan cara-cara mesti mematuhi apa yang dilandaskan dan yang ditetapkan oleh syaraq,” katanya ketika ditemui.

Beliau mengulas penglibatan puluhan rakyat Malaysia yang menyertai aktiviti militan atas nama perjuangan jihad dan berperang di Syria dan Iraq bagi membantu umat Islam di negara bergolak berkenaan.

Baru-baru ini, polis mendedahkan sedang memburu lima lelaki termasuk seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan yang dipercayai mahu menyertai perjuangan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Pada 18 Jun lalu, Wakil Tetap Syria ke PBB mendakwa seramai 15 warga Malaysia terlibat dalam aktiviti-aktiviti jihad ISIL.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali juga mengesahkan PAS memecat seorang ahli parti itu dari Kedah, Ustaz Lotfi Ariffin pada 11 Mei 2014 selepas mendapat maklumat dan mengesahkan beliau ke Syria untuk menyertai peperangan di sana melalui satu kumpulan yang dikatakan berjihad.

Fathul Bari berkata, meskipun tindakan sekelompok individu untuk membantu saudara Islam di sana adalah keputusan yang baik namun jika langkah dipilih tidak betul berdasarkan tafiran yang salah maka pada akhirnya perjuangan itu bukan dalam kategori menunaikan tuntutan agama.

Selain itu, beliau turut menegaskan apabila ini berlaku maka kelak akan timbul persepsi buruk daripada agama lain terhadap Islam termasuk Malaysia berikutan warganya terlibat dalam kegiatan militan.

“Secara langsung ia memberikan pandangan atau persepsi buruk dunia tentang Islam.

“Kita memberikan satu pandangan yang saya kira negatif di mata orang bukan Islam tentang Islam.

“jadi sekarang ini apa yang kita perlu bantu adalah mungkin pembekalan ubat-ubatan, doa yang paling terbaik sekali, itu yang kita mampu untuk bantu setakat ini, bukat itu ertinya kita abaikan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.