IS Kuasai Telaga Minyak

Beirut – Kumpulan bersenjata Sunni dari Daulah Islamiah (IS) kini menguasai sepenuhnya kawasan telaga minyak dan gas utama di wilayah Deir Ezzor, Syria yang bersempadan dengan Iraq.

Menurut kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, IS menguasai telaga minyak di Tanak di kawasan gurun Sheiytat yang terletak di timur wilayah berkenaan awal semalam selepas kumpulan pejuang Sunni lain berundur.

Sebelum itu, IS berjaya menguasai sebahagian besar telaga minyak Al-Omar.

Pengarah kumpulan, Rami Abdel Rahman berkata IS bagaimanapun masih belum menguasai telaga kecil Al-Ward yang menghasilkan kira-kira 200 tong minyak sehari yang kini di bawah penguasaan kabilah tempatan.

IS menawan kedua-dua telaga minyak di Tanak dan Al Omar selepas kumpulan pejuang Sunni dari Barisan Al-Nusra dan beberapa kumpulan pejuang lain berundur dari kawasan berkenaan.

Al-Nusra dan kumpulan Sunni lain yang memerangi tentera Syria, menentang IS yang sebelum ini dikenali Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) kerana berbeza haluan dalam perjuangan.

IS kini hampir menguasai keseluruhan kawasan dari Deir el Zour ke bandar sempadan Boukamal.

Kawasan berkenaan bersempadan dengan bahagian utara dan barat Iraq yang ditawan mereka bulan lalu, membolehkan pejuangnya bergerak bebas antara kedua-dua negara.

Sejak tiga hari lalu, IS bergerak ke arah utara hingga ke Sungai Furat, menghala ke Turki, mengebom sebuah bandar yang terletak 18 kilometer dari sempadan.

Tindakan mengebom bandar Akhtarin yang dikuasai kumpulan Sunni lain dilakukan selepas menawan kubu kuat kumpulan itu di Zour Magar dan Badaydiyeh.

IS diketuai militan Iraq, Abu Bakr al-Baghdadi, yang minggu ini mengisytiharkan pemerintahan khalifah atau Daulah Islamiah di wilayah yang mereka kuasai di Syria dan Iraq.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.