Gelandangan Dan Pengemis : PR Nak Tarik Simpati Dan Musnahkan Keyakinan Rakyat Pada Kerajaan

Kuala Lumpur – Tindakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) cuba mengaut keuntungan politik dengan memberi pandangan tanpa cadangan membina mengenai isu gelandangan dan peminta sedekah merupakan sesuatu yang sudah dijangkakan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sikap itu bertujuan untuk menunjukkan bahawa mereka kononnya ‘hero rakyat’ menerusi cara memburuk-burukkan kerajaan yang memang sebati dalam pembangkang.

“Dia nak tarik perhatian, nak dapatkan pengaruh, nak simpati orang ramai dan dia juga nak musnahkan keyakinan orang ramai kepada kerajaan pemerintah. Ini tugas dia, oleh kerana itu ada saja benda yang negatif sikit kerja dia memang pusingkan cerita itu dan dia pandai sebab kerja dia memang pusingkan cerita,” kata Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis itu.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan pemimpin pembangkang yang menyertai program agihan makanan NGO PERTIWI Soup Kitchen iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua malam tadi.

Nurul Izzah berkata, pembangkang membantah langkah kerajaan mengenakan hukuman terhadap gelandangan serta peminta sedekah kerana kurang bijak dan dijangka tidak menyelesaikan masalah berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan pihaknya akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengeluarkan saman bersiri kepada pemberi sedekah di tepi jalan.

Walaupun sedar langkah itu mendapat kritikan daripada aktivis dan pembangkang, namun kerajaan tetap bertekad bagi membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di ibu negara.

Ramlah berkata, PR perlu terima hakikat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk pemerintahan boleh menjalankan rancangannya yang sesuai untuk manfaat rakyat.

“Itu hak kerajaan, itu kuasa kerajaan sebab dia dah jadi kerajaan. Jadi, kuasa pembangkang pula nak komen kerajaan, nak kritik kerajaan dia kata apa sajalah yang tak betul bagi dia sebab kalau benda itu betul pun dia kata tak betul sebab beri keuntungan kepada dia,” katanya.

Menurut Ramlah, pembangkang akan membuat apa saja bagi memastikan agenda politik jahat mereka tercapai kerana mereka tidak pernah ikhlas dalam menangani sesuatu isu di negara ini dan hanya mementingkan agenda politik peribadi mereka.

“Pembangkang ini memang tak akan ikhlas, tak usahlah nak cakap pasal ikhlas. Bagi saya mereka kena bertanggungjawab tapi tanggungjawab itu pun mereka tak nak sebab bagi mereka tanggungjawab mereka adalah untuk menang, untuk dapatkan pengaruh, pengikut, kurangkan keyakinan rakyat.

“Jadi, tanggungjawab dia pada negara tak ada walaupun dia kata tanggungjawab pada negara itu pembohong,” katanya.

Tambahnya lagi, jika PR benar-benar ikhlas mereka sewajarnya bekerjasama dengan kerajaan dalam mengatasi masalah ini.

“Kalau dia (pembangkang) kalau betul-betul ikhlas dan bertanggungjawab dia kena bagi cadangan bagaimana nak mengatasi masalah pendatang haram yang banyak, peminta sedekah yang ramai. Ada dia bagi cadangan macam mana nak atasi? Tak ada, ini pun satu isu juga mereka hanya tahu beri komen sahaja cadangan tak bagi,” jelasnya.

“Bagi saya dia tak sayang negara, dia tak bertanggungjawab dan hanya tahu nak musnahkan apa yang telah kerajaan lakukan tapi bila mereka memerintah negara belum tahu lagi betul,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pemimpin PR agar bersikap lebih bertanggunjawab kepada negara sekali gus menitik beratkan soal kepentingan negara seperti dalam isu-isu pentadbiran serta menghormati undang-undang yang telah diperuntukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.