Dua Banglo Dijadikan Pusat Sehenti Gelandangan

Kuala Lumpur – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas sikap segelintir masyarakat yang menyebarkan fitnah berhubung keputusan kerajaan menguatkuasakan undang-undang terhadap gelandangan dan pemberi sedekah di ibu kota.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menyekat mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi makanan dan bantuan kepada gelandangan.

Malah, pada Selasa, beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa NGO untuk membincangkan lebih lanjut jalan penyelesaian kepada masalah gelandangan.

Beliau turut memaklumkan, sebuah pusat sehenti akan diwujudkan di Lorong Haji Taib.

“Kementerian dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sedang berbincang dengan pemilik dua buah banglo di situ untuk dijadikan one stop centre,” katanya selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Yahya Din, menerusi Program Nur Ramadan di Taman Wangsa Melawati, pada Sabtu.

Jelasnya, NGO boleh meneruskan kerja amal mereka.

“Sebagai kerajaan, kita cuba lakukan yang terbaik untuk golongan miskin dan gelandangan ini, khususnya dalam bulan Ramadan dan sambutan hari raya nanti. Bagi NGO, teruskan apa yang telah mereka lakukan,” katanya.

Beliau tidak sangka, tindakan kementeriannya untuk memberi keselesaan kepada semua lapisan masyarakat, akan menjadi bahan tohmahan di laman-laman sosial.

“Macam-macam mereka kata saya tidak prihatin masalah golongan bawahan. Saya kononnya tidak pernah turun ke jalan raya dan saya tidak tahu bersedekah,” ujarnya yang menyangkal semua tuduhan berkenaan.

Jelasnya, beliau pernah memperkenalkan ‘Dapur Sup’ di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Jalan Medan Tuanku, 14 tahun lalu.

“Kalau nak tahu lagi, saya pernah berjalan kaki sendirian untuk melihat masalah gelandangan dan golongan miskin sekitar ibu kota,” katanya yang kesal dengan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya sejak akhir-akhir ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.