Beri Permit Pada Peminta Sedekah – Dr Asri

Kuala Lumpur – Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan sistem permit diwujudkan untuk pengemis bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab dan sindiket haram mengambil kesempatan.

Bekas mufti Perlis itu berkata pengemis perlu melalui beberapa prosedur sebelum mereka mendapat permit untuk mengemis.

“Pengemis berkenaan diperiksa di sudut kesihatan, peluang pekerjaan yang ditawarkan, latar pemilikan harta dan lain-lain,” kata Asri dalam tulisan di dalam akaun Facebooknya.

Sekiranya dilaksanakan, sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penipuan.

“Untuk mengelakkan penipuan dan sindiket, hanya peminta sedekah yang mempunyai ‘permit’ (kelulusan) sahaja yang patut diizinkan,” kata beliau.

Selain itu, Asri turut membidas kenyataan pihak berkuasa mahu mengambil tindakan ke atas pemberi derma kepada golongan tidak bernasib baik tersebut.

“Orang yang menderma tidak wajar diambil tindakan, sebaliknya orang yang meminta tanpa permit sahaja yang boleh diambil tindakan,” kata beliau.

Dalam cadangan itu lagi, Asri juga menggesa agar tempat bantuan makanan hendaklah diuruskan dengan baik agar kebersihan dapat dijaga.

Isu pengemis dan gelandangan mendapat perhatian umum selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu negara.

Kenyataan Tengku Adnan tersebut dikritik hebat.

Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah dan pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bekas-mufti-perlis-cadang-pengemis-diberi-permit-bagi-elak-sindiket-haram#sthash.tWxWfn8b.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.