KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat mengalu-alukan keputusan Kabinet membenarkan perniagaan makanan dan minuman berskala mikro untuk terus menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, walaupun tidak memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Menurut Sany, penangguhan pelaksanaan dan cadangan pindaan peraturan sedia ada adalah langkah terbaik memastikan rakyat bawahan dan peniaga kecil tidak tertindas.
“Kerajaan Madani mendengar rintihan suara rakyat, ini bukti kerajaan cakna dengan permasalahan rakyat.
“Hanya peniaga besar akan dikenakan permit kerana golongan ini guna lebih. Maka tidak salah sekiranya mereka dikenakan sedikit caj bahan bakar.
“Pendekatan ini adalah win-win situation, peniaga ada untung maka mereka perlu bayar sedikit caj permit,” ujarnya ketika dihubungi SuaraTV pada Khamis.
Sany yang juga wakil rakyat Amanah itu berkata demikian ketika diminta mengulas Mesyuarat Kabinet hari ini telah meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini.
Menurut beliau, kelonggaran akan berkuat kuasa sehingga pindaan baharu terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 dimuktamadkan menjelang Oktober ini.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan OPS GASAK dan sehingga pindaan PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap perniagaan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil yang menggunakan silinder LPG bersubsidi bagi kegunaan premis perniagaan mereka.
“Peniaga mikro dan kecil dibenarkan mendapatkan bekalan LPG bersubsidi tanpa memerlukan PBKB,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau turut memaklumkan satu sesi libat urus bersama pihak industri akan diadakan esok bagi mendapatkan maklum balas sebelum garis panduan dan peraturan baharu digubal.
Menyentuh mengenai pindaan yang akan dilaksanakan, Armizan menjelaskan fokus utama ialah untuk menyesuaikan peraturan tersebut dengan keperluan sebenar golongan peniaga mikro dan kecil secara bersasar.
“Pindaan ini turut bertujuan memperjelas aspek perundangan bagi memastikan pematuhan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau menambah, Jemaah Menteri juga bersetuju agar semakan dan pindaan terhadap PPKB (Pindaan) 2021 diselaraskan oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta melibatkan kementerian dan agensi berkaitan.
Pandangan serta syor daripada pelbagai pemegang taruh juga akan diambil kira dalam proses tersebut.
Sebagai makluman, PPKB (Pindaan) 2021 memperuntukkan had pemilikan dan penggunaan LPG tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa oleh peniaga, dan mewajibkan PBKB sekiranya jumlah tersebut dilepasi.
Sementara itu, Ops Gasak yang masih giat dijalankan merupakan usaha kerajaan membanteras aktiviti haram seperti pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi serta penggunaannya secara tidak sah oleh pihak industri.-SuaraTV