KUALA LUMPUR – Sesiapa pun yang memimpin negara individu berkenaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan teladan kepimpinan kepada rakyat dengan bersedia untuk melalui setiap proses kehakiman secara terbuka demi imej serta kemuliaan Institusi Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan rujukan undang-undang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai imuniti adalah selari dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang dan doktrin pemisahan kuasa.
“Jawatan Perdana Menteri tidak harus menjadi perisai diri oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan perbicaraan di mahkamah.
“Jika Perdana Menteri mendakwa rujukan beliau itu bertujuan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada “litigasi yang mungkin berlaku secara strategik”; bermotifkan politik”, atau “mengganggu institusi”, saya sepenuh dan sesungguhnya yakin bahawa, sistem perundangan Malaysia sudah pun mempunyai mekanisme menapis saman yang remeh atau berniat jahat,” kata Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dalam kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Larut itu malah menegaskan, konsistensi adalah penting, jika ada mana-mana pihak cuba memberikan gambaran seolah-olah kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan yang sah berbanding “motif politik”, ianya merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan badan kehakiman yang sepatutnya dipertahankan.