Oleh Zihan Zari
KUALA KEDAH – Peruntukan sebanyak RM 90 juta telah diluluskan di bawah RMK-12 kepada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untu projek perolehan peralatan pembangunan bagi Program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan atau Monitoring, Control and Surveillance (MCS).
Program MCS demi kelestarian sumber perikanan negara bagi penggantian bot peronda laju baharu, enjin, naiktaraf kapal dan perolehan peralatan penguatkuasaan perikanan.
Ketua Pengarah DOF , Dato’ Adnan Hussain berkata demikian ketika berucap sempena penyerahan dan penerimaan Kapal KPS Semilang VI (P306) di Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Kuala Kedah pada Ahad.
Menurutnya, kapal ini telah dinaiktaraf di bawah projek MCS meliputi penggantian enjin baharu, genset dan penyelenggaraan bahagian dalaman serta luaran kapal,
Katanya, Syarikat Asia Slipway & Engineering Sdn. Bhd telah diberi kepercayaan untuk memastikan
kapal ini dinaiktaraf, boleh menjalankan fungsinya ke tahap optimum, sesuai bagi operasi yang berdurasi panjang dan kelajuannya mampu mencapai sehingga 25 knot.
Beliau yakin kapal ini juga mampu meningkatkan kecekapan anggota di KOPP Kuala Kedah bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan perikanan negeri khususnya dan negara amnya.
Dalam masa yang sama beliau berkata, Pengurusan Perikanan (Fisheries Management) merupakan salah satu teras perkhidmatan DOF.
Tegasnya, antara tanggungjawab dalam Pengurusan Perikanan ialah MCS untuk melindungi dan memulihara sumber perikanan negara di Kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) agar kekal mampan dan sekaligus menjadi sumber bekalan makanan utama negara.
Katanya lagi, MCS meliputi kawalan dan pengawasan di lokasi penangkapan ikan dan pendaratan, di laut atau darat, melaksanakan pemeriksaan terhadap vesel, enjin, buku lesen, peralatan menangkap ikan, peralatan keselamatan, pemeriksaan kru, kaedah penangkapan ikan dan sebagainya.
“Ini merupakan antara strategi pengurusan perikanan yang berkesan bagi memastikan pematuhan kepada kepada Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, ”ujarnya.
“MCS turut dilaksanakan untuk menangani isu ketirisan sumber perikanan negara ke negara jiran sepertimana yang dilaporkan oleh Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (South East Asian Fisheries Development Centre).
Bagi menjamin MCS dapat dilaksanakan dengan sistematik dan efisien, DOF komited memastikan
kesiapsiagaan aset laut berada pada tahap yang optimum untuk pelaksanaan operasi penguatkuasaan perikanan, ”ujarnya lagi.
Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan DOF, Hj. Abdul Halim Marzuki; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan DOF, Sukri Deris dan Pengarah Urusan Asia Slipway & Engineering Sdn. Bhd, Abdul Ghafar Samat – SUARA.TV