Menara KL: Annuar tak terlibat rasuah, tuduhan berniat jahat – Raja Petra

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Pengasas dan penulis portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa langsung tiada kena mengena dengan pertuduhan rasuah membabitkan pengambilalihan Menara Kuala Lumpur oleh Hydroshoppe Sdn Bhd.

Jelas beliau, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49 didakwa di Mahkamah atas pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang lagi seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Ser Lay, 60.

Bagaimanapun katanya, nama Annuar disebut di mahkamah kononnya komisyen itu diberikan untuk faedah Annuar memandangkan beliau menjawat jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Abdul Hamid tawarkan bayaran itu kepada ahli perniagaan itu, hanya libatkan mereka berdua namun nama Annuar pula yang disebut di mahkamah kononnya beliau juga mendapat faedah memandangkan menteri ketika itu.

“Sedangkan tidak ada bukti, tiada perkaitan tapi mereka sebut dalam pendakwaan nama Annuar. Tak ada bukti Annuar minta apa-apa
tak berkait, dia tak terlibat tak terima apa-apa tapi nama dia disebut dalam pendakwaan jelas sekali mereka nak burukkan nama Annuar.

“Tuduhan ini cacat, mala fide (berniat jahat). Setakat tuduh saja, tarikh pun tak tentu, tiada perincian.

“Mereka nak rosakkan nama Annuar, kebetulan dia Menteri Komunikasi dan Multimedia waktu itu tapi tak ada bukti terlibat kes,” katanya dalam video yang dimuat naik pada Isnin.

Pada April 2023, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Abdul Hamid Shaikh, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan suapan tersebut melalui Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, seorang ahli perniagaan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat dan pada tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap dua bulan sekali bermula Mei 2023.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat