KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi melalui hantaran di akaun Facebooknya hari ini menyatakan rasa kecewanya atas tindakan penyandang kerusi parlimen itu sekarang, YB Datuk Dr. Shahrudin Md Salleh yang melepaskan jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya semalam.
Kata Aziz, “Saya ingin menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Ahli Parlimen Sri Gading, YB Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya semalam”.
Sebagai rakyat dalam parlimen Sri Gading, Aziz berkata, “Kenyataan beliau yang meletakkan jawatan kerana mementingkan rakyat Sri Gading adalah terlalu dangkal kerana sudah tentu dengan berjawatan timbalan menteri, beliau mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk membantu rakyat berbanding ahli parlimen biasa”.
Sedangkan pada pendapat Aziz, “Apa yang nyata di mata rakyat adalah Dr. Shahruddin telah meletakkan kepentingan politik lebih jauh ke hadapan berbanding kepentingan rakyat”.
Aziz turut mempersoalkan kenapa Dr. Shahrudin membuat keputusan ini tatkala kerajaan di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertungkus-lumus sedaya upaya melawan wabak COVID19 sekaligus menghidupkan ekonomi kembali.
“Ini jelas memperlihatkan bahawa Dr. Shahruddin langsung tidak berminat dan berhasrat untuk bersama-sama kepimpinan negara dan seluruh warga kerja kerajaan untuk memulihkan negara tetapi mementingkan survival politik partinya sendiri sahaja”, kata Aziz lagi.
Turut dipertikaikan Aziz ialah keputusan Dr. Shahrudin meletakkan jawatan tetapi masih berada bersama Kerajaan PN juga menunjukkan beliau hanya mahu menimbulkan kekecohan dan ingin mengheret negara dan rakyat ke kancah krisis politik sekali lagi.
Jelas Aziz lagi, “Sekiranya benar Dr. Shahruddin mementingkan mandat rakyat Sri Gading yang diterima pada PRU yang lepas, saya ingin mencabar beliau untuk memperbaharui mandat tersebut dengan melepaskan kerusi Parlimen Sri Gading. Hanya dengan kaedah ini barulah rakyat akan percaya bahawa keputusan meletakkan jawatan ini demi kepentingan rakyat dan bukan bermain politik”.
Ulasan penuh Datuk Ab Aziz boleh dirujuk di pautan berikut https://www.facebook.com/708746809179782/posts/2908433669211074/
– SuaraTV