Polis Sahkan Pemandu Pelajar Tahfiz Tiada Lesen

Polis Kelantan mengesahkan pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai sehingga menyebabkan kematian tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi Jumaat lepas, tidak mempunyai lesen.

Pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata pada awalnya terdapat percanggahan mengenai status pemandu van itu kerana pengurusan maahad berkenaan memberitahu pemandu memiliki lesen tetapi siasatan lanjut mendapati seorang guru pengiring menjadi pemandu gantian.

“Pada hari kejadian, pemandu yang sepatutnya melakukan tugas tersebut telah mengambil cuti dan digantikan dengan pemandu lain (guru pengiring).

Siasatan masih dijalankan kerana kemungkinan ada unsur kecuaian manusia kerana ada saksi memberitahu van yang terbabit kemalangan itu cuba memotong sebuah kenderaan lain dan jika benar, ia pasti dipandu dalam kelajuan tinggi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Jumaat lepas, nahas yang mengorbankan tujuh pelajar maahad itu berlaku ketika sekumpulan 12 pelajar dan dua guru pengiring dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghadiri program di Madinah Ramadan dekat Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.

Dalam kemalangan kira-kira 9.40 pagi itu, van yang mereka naiki dikatakan terbabas dan terjunam ke dalam tebing sebelum merempuh rumah penduduk.

Din berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung.
Mengulas mengenai seorang pegawai polis yang ditemui mati dengan kesan tembakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh Khamis lepas, Din berkata kes itu masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata sehingga kini siasatan mendapati tiada pembabitan pihak ketiga atau unsur jenayah dan ia lebih kepada kemalangan senjata.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.