Perak Tubuh Jawatankuasa Khas Siasat Kebocoran Muzium Kapal Perang

IPOH – Kerajaan negeri Perak akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertujuan mengambil langkah susulan berhubung kebocoran kapal Ex KD Rahmat yang kini senget di pesisir laut berhampiran Marina Waterfront, Lumut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kerajaan negeri kecewa dengan dengan kecuaian sebuah syarikat swasta menjaga bekas Kapal Diraja (KD) Rahmat itu dan menganggap ia sebagai serius dan berat.

Menurutnya, kerajaan negeri juga membuat keputusan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, selepas mendapat laporan terperinci dari jawatankuasa itu berkenaan punca yang menyebabkan kapal tersebut mula tenggelam.

Sehubungan itu, katanya, syarikat Plus Asiajaya Perak (PAP) selaku kontraktor yang diberi tanggungjawab membaik pulih dan menyelenggara kapal itu, akan menanggung segala kos operasi terlibat dalam memastikan keselamatan kapal, selain mengelakkan kejadian berulang.

“Kerajaan negeri akan terus memantau obligasi PAP seperti mana yang terkandung di dalam perjanjian, bagi memastikan keselamatan kapal dan penggunanya terpelihara,” kata Nolee pada sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Sabtu lalu, kapal Ex KD Rahmat di Pangkalan TLDM Lumut didapati senget dan mula tenggelam selepas dikatakan bocor.

Kapal tersebut yang tamat perkhidmatan telah diserahkan kepada kerajaan negeri Perak pada 2010 dan mula dibuka sebagai muzium setahun kemudian.

Bagaimanapun, atas faktor keselamatan pada jeti penghubung, muzium kapal itu ditutup mulai September 2016.

PAP kemudiannya diberi tanggungjawab untuk membaikpulih dan menyelenggara kapal itu, sebagai sebahagian pakej projek pembangunan komersial bercampur di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Nolee memberitahu, kerja-kerja mengepam air keluar daripada kapal tersebut dijalankan 24 jam sejak Sabtu oleh beberapa pihak, termasuk TLDM dan kontraktor.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada pihak TLDM di atas komitmen mereka membantu usaha menyelamatkan kapal, khasnya dari aspek teknikal dan khidmat nasihat kepakaran,” ujarnya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.