Obor KL Tiba Di Puncak Kinabalu


KUALA LUMPUR – Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tiba di puncak gunung tertinggi negara, Gunung Kinabalu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pendakian sejauh 4,095.2 meter yang turut disertai 24 pendaki lain itu bermula semalam dengan rombongan berkenaan terlebih dahulu bermalam di Laban Rata sebelum meneruskan pendakian ke puncak awal pagi tadi bagi menyalakan obor tersebut, lapor Utusan.

Khairy menerusi akaun Twitternya hari ini memaklumkan mengenai ketibaan obor tersebut di puncak gunung tertinggi yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

“Di puncak tertinggi di Malaysia bersama obor @KL2017. Bagaimana Rimau (maskot Sukan Sea 2017) berada di sini dengan pantas? @Kinabalu #BangkitBersama,” katanya.

Dalam pada itu, pendakian membawa obor KL2017 ke puncak Gunung Kinabalu mencabar ketahanan fizikal dan mentalkan peserta memandangkan misi itu dilakukan dalam bulan Ramadan.

Sehubungan itu, Khairy turut berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga malim-malim Gunung Kinabalu yang terkorban dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan Sabah pada 5 Jun 2015.

“Bersama keluarga malim-malim Gunung Kinabalu yang terkorban 2 tahun lepas. Mereka mendaki sebagai peringatan tiap-tiap tahun,” tulis Khairy dalam Twitter.

Selepas ini, obor berkenaan akan dibawa menjelajah ke beberapa daerah di Sabah sebelum diserah ke Sarawak.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.