Mahathir Lebih Berjaya Berbanding Anwar, Kata Pemimpin PPBM

Pengerusi Biro Strategi dan Polisi PPBM, Datuk Dr Rais Hussin mempersoalkan sikap Pakatan Harapan yang masih bergantung harap kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri berbanding tunduk kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujarnya, kejayaan bekas Perdana Menteri itu membawa kemenangan Barisan Nasional (BN) selama lima kali perlu dijadikan sebagai kayu ukur, bukannya Anwar yang masih dipenjara, apatah lagi dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

“Ianya menentang logik, apatah lagi kebijaksanaan.

“Tidakkah ini umpama mencari padah?

“Lebih memeranjatkan, sesetengah ahli pembangkang enggan tunduk kepada kepimpinan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, walaupun beliau dengan jayanya memenangi lima pilihan raya sebelum ini.

“Kenapa tidak menggunakan jeneral yang terbukti dan disahkan oleh dirinya sendiri sudah bertaubat, dan akan menjatuhkan BN?” kata Dr Rais dalam esei panjang lebarnya disiarkan oleh Malaysiakini.

Kenyataan Dr Rais adalah susulan kepada penentangan ramai kalangan pemimpin Pakatan Harapan yang tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

Dr Mahathir juga sebelum ini juga pernah mendakwa Anwar tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau sekali lagi mengulanginya apabila menyatakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri berbanding Anwar.

Meneraju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selaku Penasihat parti, Dr Mahathir juga mengakui akan kembali menjadi Perdana Menteri sekiranya ianya merupakan kemahuan penyokong pembangkang.

Tanpa mengemukakan sebarang bukti sokongan, Dr Rais mendakwa 70 peratus rakyat Malaysia kini mahukan Dr Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri sungguhpun sudah berusia 92 tahun, ketika ini.

“Kenapa tidak beri dia peluang untuk memperbetulkan keadaan sekaligus. Jika ini yang dimahukan rakyat Malaysia, ianya sungguh mencelarukan mengapa pembangkang tetap betegas mahukan calon mereka (Anwar). Betul lawan tetap lawan.

“Tetapi ‘awan tetap awan’ juga. Pembangkang perlu berpaksikan realiti dibumi yang nyata. Bukannya berkhayal dan berfantasi seperti di awan monsoon yang akan hujan sewaktu keraian,” ujarnya.

Katanya, pembangkang perlu memberi lebih banyak fokus kepada rakyat, bukannya kepada individu, kumpulan atau keluarga tertentu.

“Sejarah juga sudah membuktikannya berkali-kali. Daripada membiarkan sejarah berulang lagi, bukankah lebih baik untuk mengukir dan merekabentuk sejarah kita sendiri dengan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara?” soalya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.