Kesilapan Serah Jenazah Mualaf Tidak Patut Berlaku – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menyuarakan kekesalan dan berpendirian, kes silap serah jenazah mualaf Cina Sabtu lalu tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan kerana pengurusan hospital dan Unit Forensik mempunyai garis panduan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

“Ia menggariskan tatacara penyerahan mayat kepada waris, justeru tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan terbabit yang tidak mematuhi garis panduan dan SOP ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kekeliruan terhadap nama asal seorang lelaki mualaf, dipercayai menjadi punca jenazahnya diserahkan oleh Hospital Kajang kepada pengurusan mayat bukan Islam hingga menyebabkan ia dibakar di krematorium dekat Cheras, kelmarin.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat dan siasatan awal daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta Hospital Kajang mengesahkan bahawa berlaku kesilapan penyerahan mayat.

Sehubungan itu, katanya, JKNS dan pengurusan Hospital Kajang melaksanakan siasatan mendalam bagi merungkai punca kesilapan, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Pengurusan abu mayat diserahkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Rumah Kebajikan yang terbabit (semalam).

“Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan arahan penambahbaikan serta merta kepada pihak hospital (Kajang) bagi mengelakkan insiden sama daripada berulang,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.