Jalan TAR Sudah Mula Diserbu Pengujung

Kuala Lumpur – Suasana meriah mula dirasai di ratusan gerai sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India, di sini, yang menjadi tumpuan wajib pengunjung membeli keperluan Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan Harian Metro di bazar Ramadan di situ semalam mendapati, orang ramai sudah mula ‘menyerbu’ gerai jualan pakaian baju Melayu dan kurung, songkok, aksesori wanita, kasut, langsir dan pelbagai keperluan lain untuk menyambut 1 Syawal kira-kira tiga minggu lagi.

Pengunjung bazar Lorong TAR atau lebih dikenali dengan Jalan TAR, Rasyidah Zulkifli, 20, berkata, dia menggunakan cuti hujung minggu pada minggu kedua berpuasa untuk membeli-belah kerana kebanyakan peniaga mempunyai lebih banyak pilihan dan koleksi pakaian berbanding minggu pertama Ramadan.

“Kalau datang awal sangat pun, ada peniaga yang belum dapat stok pakaian mereka untuk dijual selain harga pun boleh tahan mahal sedikit.

“Sebab itu bagi saya minggu kedua adalah waktu terbaik untuk beli barang di Jalan TAR yang menjadi tempat pilihan saya dan ibu mencari pakaian untuk bapa serta tujuh adik lagi setiap kali menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini semalam.

Eksekutif swasta, Nazriq Kamaruzzaman, 31, berkata, dia memilih untuk membeli-belah pada hari ke sembilan berpuasa semalam kerana tidak mahu bersesak-sesak pada saat akhir seperti dilakukan ketika zaman bujangnya sebelum ini.

“Dulu masa seorang mungkin tiada masalah sangat hendak berasak-asak, tetapi selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih kecil, saya rasa lebih selesa datang awal.

“Lagipun saya lihat harganya tadi masih berpatutan seperti RM100 untuk sepasang baju Melayu yang biasanya hanya ditawarkan pada minggu akhir Ramadan,” katanya.

Sementara itu peniaga pakaian kanak-kanak, Suraini Yati Azman, 32, berkata, dia menawarkan harga rendah di gerainya sejak awal Ramadan selepas mendapati pengunjung semakin berjimat cermat dalam berbelanja.

“Ini berbeza dengan beberapa tahun sebelum apabila harga ditawarkan pada awal puasa dengan akhir Ramadan mungkin agak jauh berbeza tetapi sekarang kami sudah turunkan harga lebih awal untuk menarik pembeli,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.