Hisham: S/U Pertahanan Baru AS Jujur, Berintegriti

“Seseorang yang saya boleh bekerja bersama,” kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menyifatkan peribadi Setiausaha Pertahanan baharu Amerika Syarikat, Jeneral (B) James Mattis.

“Ikhlas, jujur, berintegriti tinggi, dan berminat memahami kita,” kata Menteri Pertahanan Malaysia itu pada akaun Twitternya selepas mesyuarat bilateral Malaysia-AS yang diadakan di luar Dialog Shangri-La 2017.

Hishammuddin berada di sini menghadiri edisi ke-16 Sidang Kemuncak Keselamatan Asia, dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) selama tiga hari bermula 2 Jun.

Selain Mattis, beliau juga berpeluang mengadakan mesyuarat bilateral dengan beberapa orang rakan sejawatannya iaitu Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen; Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu; Menteri Pertahanan Australia Senator Marise Payne; Menteri Angkatan Tentera Perancis Sylvie Goulard; dan Menteri Pertahanan Jepun Tomomi Inada.

“Perbincangan tertumpu kepada perkara berkaitan hubungan pertahanan bilateral dan multilateral, khususnya peranan kita dalam mendepani dinamik persekitaran keselamatan serantau,” kata Hishammuddin dalam kenyataan dikeluarkan pada hari akhir sidang kemuncak itu hari ini.

Pada Dialog Shangri-La IISS itu, Hishammuddin diberi peluang berucap mengenai topik “New Challenges For Crisis Management In The Asia-Pacific” (Cabaran Baharu Bagi Pengurusan Krisis di Rantau Asia Pasifik), bersama Menteri Pertahanan Kanada Harjit Singh Sajjan, dan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera Paksitan Jen Zubair Mahmood Hayat.

Dalam ucapannya, Hishammuddin menekankan lima cabaran yang pada pandangannya paling relevan pada masa ini, antaranya perkembangan cita-cita Daesh di Asia Pasfik, ketegangan semakin meningkat dan ketidakstabilan di Semenanjung Korea, serta ketidakseragaman dalam usaha hegemoni di Laut China Selatan.

Bagi menangani cabaran itu, Hishammuddin mencadangkan lima penyelesaian, antaranya memperjuangkan kesederhanaan baik di dalam mahupun merentasi sempadan, serta memperbaharui komitmen untuk kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Paling penting, saya ingin mengingatkan perwakilan bahawa apabila menghadapi ancaman seperti pelampau agama, tiada satu negara pun boleh mendepaninya secara bersendirian.

“Ia adalah lebih penting kini berbanding sebelum ini, kita meletakkan barisan hadapan yang bersatu, membina pakatan dan pergerakan sederhana dengan negara-negara berfikiran sealiran dengan kita, untuk menjadi suara bagi menentang keganasan dan ekstremisme – prinsip yang menjadi amalan rundingan terbaharu Malaysia dalam dasar luar negara,” katanya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.