Ariana Enggan Hipokrit

Ramai penyanyi antarabangsa memulakan kerjaya seni pada usia muda. Mereka membesar dalam populariti dan menjadi perhatian umum.

Kehidupan mereka banyak didedahkan kepada masyarakat, sekali gus hidup mereka kurang privasi dan ini membawa kepada dua perkara, sama ada peluang baru untuk terus berjaya atau menjatuhkan reputasi mereka sebagai artis.

Ariana Grande, 23, antara penyanyi muda yang dilihat tulus dan tidak berpura-pura. Dia muncul di televisyen sebagai diri sendiri dan tidak perlu bekerja keras untuk menjaga imej bersih.

Ariana tidak menyembunyikan apa-apa kerana berpakaian seksi walaupun kurang disenangi sesetengah pihak.

Baginya, muzik adalah perkara paling penting di dunia dan dia menjadi provokatif apabila perlu serta ingin kelihatan seksi.

“Saya mahu berjaya dalam setiap perkara yang dilakukan dan menjadi seorang yang menyeronokkan. Tetapi, fokus utama saya adalah muzik. Saya gembira kerana diberi peluang menjadikan muzik sebagai kerjaya,” katanya.

Fokusnya dalam bidang muzik tidak pernah terganggu walaupun terpaksa bekerja hampir 18 jam sehari dan terpaksa berkejar dari satu tempat ke tempat lain.

Komitmen diberikan akhirnya terbayar apabila album dan lagunya berjaya menduduki carta tertinggi di Amerika Syarikat.

Vokal Ariana kedengaran enak di telinga tetapi bait-bait lagu disebut dengan penekanan namun lembut. Dia menjadi ikon untuk ramai kanak-kanak dan remaja.

“Saya bukanlah seseorang yang setiap kali bangun pagi akan memberikan tekanan pada diri mencari perkara yang boleh membuatkan orang ramai kagum.

“Saya cuma terfikir untuk menghasilkan lagu yang bakal digemari ramai. Saya tidak suka melakukan sesuatu yang sudah dirancang semata-mata mahu menunjukkan sisi matang saya.

“Ia bukan sesuatu yang ikhlas. Sebab itulah saya tampil seksi dan matang dalam cara yang saya selesa. Tetapi, apabila bercakap mengenai muzik, dua perkara yang saya sebut tidak lagi sepenting karier saya,” katanya.

Ariana menjadi contoh bukan hanya disebabkan kejayaan dalam bidang diceburi tetapi juga kerana cara bekerjanya. Katanya, dia memang suka bekerja kerana ia membuatkannya sangat gembira.

“Apabila saya mempunyai masa terluang walaupun dalam tempoh yang singkat, saya rasa sangat pelik. Saya rasa sikap suka bekerja ini saya warisi daripada ibu.

“Tidak ada apa yang perlu disesalkan bekerja pada usia muda. Saya bangga mempunyai karier. Saya mahu berjaya dan gembira secara rohaniah,” katanya.

Kata Ariana, ada perkara yang tidak difikirkan sangat oleh sesetengah individu walaupun perkara itu penting.

“Kita harus bersahabat dengan mereka yang sentiasa menyokong kita. Bagi saya memilih orang yang tepat untuk berada di sisi akan membuatkan seseorang itu lebih kuat dan sentiasa bersedia untuk maju ke hadapan,” katanya.

Memulakan kerjaya terlebih dulu di pentas ‘broadway’ pada usia 13 tahun sebelum diberi watak Cat Valentine dalam siri Nickelodeon,Victorious pada 2009, Ariana gembira kerana meletakkan keluarga sentiasa dekat dengan dirinya.

Katanya, dia tidak akan sekali-sekali menjadikan mereka sebagai musuh. Andai ada pertelingkahan, dia mengambil inisiatif untuk membetulkan keadaan.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.