Ahli PPBM Hanya 80,000, Bukan Setengah Juta Seperti Didakwa – Kamarulazman

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) digesa mendedahkan berapakah bilangan ahlinya sejak ditubuhkan akhir tahun lalu.

Bekas Setiausaha Kerja Parti PPBM , Kamarulazman Habibur Rahman berkata mendakwa parti sehingga kini sentiasa merahsiakan jumlah ahli mereka.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan kesahihan lebih 1000 ahli PPBM Perak keluar parti.

“Saya nak cabar Tan Sri Muhyiddin, kalau macam itu dia kata (persoal kesahihan)…senarai nama orang-orang yang telah masuk parti ini. Berapa puluh ribu (sahaja) tetapi dia kata beratus ribu (ahli yang masuk PPBM).

“Setahu saya, belum sampai 100,000 pun baru (hanya) 80,000 sahaja. Jadi senaraikan nama yang setengah juta itu. Tiada pun,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan mencabar mana-mana individu agar menamakan semua 1,000 ahli parti itu di negeri Perak yang bertindak keluar parti baru-baru ini.

Katanya, jumlah itu mungkin sekadar rekaan semata-mata bagi membayangkan parti setahun jagung itu goyah di peringkat negeri itu.

Mengulas perkara itu, Kamarulazman berkata Muhyiddin berada dalam sindrom penafian.

“Sememangnya, apabila pemimpin itu keluar, maka akan ada beberapa pemimpin lain yang keluar. Setiap mereka yang keluar ini mereka ada pengaruh mereka. Mereka ada pengikut.

“Saya nak cabar Tan Sri Muhyiddin pula berapa ramai ahli yang dia tambah, ataupun berjaya ditambah ekoran daripada keluarnya saya ataupun keluarnya beberapa pemimpin di Perak itu. Dia tidak ada langsung penambahan ahli, kami hari itu masa mula bawa masuk beribu-ribu orang untuk jadi ahli.

“Tetapi bila saya keluar, bukan main ramai lagi keluar. Mereka tidak perlu mengatakan bahawa mereka akan keluar dan sebagainya, mereka dah dengan sendirinya keluar,” kata Kamarulazman.

Kamarulazman bertindak keluar PPBM pada April lalu selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam parti diteraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Akhir Mei lalu, lebih 1,000 ahli PPBM Perak pula keluar parti beramai-ramai diketuai Ketua PPBM Bahagian Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua PPBM Bahagian Teluk Intan, Jemaat Yaacob.

Tindakan itu diambil selepas mendakwa Muhyiddin gagal menyelesaikan konflik di peringkat nasional dan negeri walaupun diberi masa 1 minggu untuk menyelesaikannya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.