Afiq Muiz Jadi Hero Hindustan?

Pelakon Afiq Muiz ambil peluang berlakon dalam filem India, I’m Not Terrorist dan terus mencuba nasib dalam bidang perfileman.

Menurut Afiq, dia meletakkan tahun 2017 sebagai waktu untuknya mengukuhkan nama selepas 6 tahun dalam bidang seni.

Afiq atau nama penuhnya Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 25, bakal muncul dalam filem terbitan India menjadi naskhah layar perak pertama yang dibintanginya sepanjang bergelar pelakon, lapor Kosmo.

Lebih menarik, naskhah arahan Arjin Uppal itu merupakan sebuah karya Bollywood yang menggunakan kepakaran tenaga produksi dari Malaysia.

“Alhamdulillah, ini merupakan filem pertama lakonan saya. Ia telah menjalani penggambaran selama 44 hari di Kashmir, India pada Mei tahun lalu.

“Sebanyak 95 peratus penggambaran memang dilakukan di sana, manakala lima peratus lagi di Kuala Lumpur. Dalam filem itu, saya turut bergandingan dengan Chacha Maembong selain dibintangi barisan pelakon dari India seperti Farida Jalal dan Rahul Dev. Insya-Allah, ia akan ditayangkan pada tahun ini,”katanya.

Mengulas mengenai pengalamannya, menurut Afiq, perkara pertama penguasaan bahasa kerana secara keseluruhannya ia menggunakan bahasa Hindi dan Inggeris.

“Sebelum berangkat ke India, saya ada mengambil kursus penguasaan bahasa Hindi selama sebulan di negara ini. Mula-mula memang rasa susah.

“Saya sukar menerima arahan daripada tenaga produksi, namun lama-kelamaan saya semakin selesa bekerja kerana mereka banyak membantu dan tidak pernah menganggap saya sebagai orang luar.

“Cuma cabaran paling besar adalah cuaca yang sangat sejuk sewaktu penggambaran. Saya juga perlu mempelajari seni mempertahankan diri dengan bantuan daripada koreografer di sana,”katanya.

Selain berlakon, Afiq turut membuat bisnes rak kasut kayu secara online di Instagram.

“Bisnes ini dilakukan bersama teman-teman sebagai rakan kongsi.

“Sebab memilih perniagaan ini adalah kerana ia lain daripada yang lain. Tidak ramai orang membuat bisnes sebegitu, jadi kami cuba melakukannya. Setakat ini ia mendapat sambutan menggalakkan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.