Siasatan MH17 Hampir Siap

AMSTERDAM – Pasukan pendakwaan yang menjalankan siasatan jenayah terhadap nahas penerbangan MH17 di timur Ukraine dua tahun lalu menyatakan bahawa mereka kini berada pada tahap terakhir dan akan membentangkan rumusan selepas musim panas ini.

 

Dalam satu kenyataan, pihak pendakwa raya memberitahu, mereka juga telah membuat beberapa permintaan bagi bantuan perundangan daripada negara-negara terlibat.

 

Bagaimanapun, mereka ma­sih menunggu maklumat daripada Rusia mengenai peluru berpandu Buk yang dipercayai menjatuhkan pesawat penerbangan Malaysia sehingga me­ngorbankan kesemua 298 orang penum­pang dan anak kapal dalam kejadian pada 17 Julai 2014.

 

Mereka menyatakan, laporan akhir akan memperincikan jenis senjata yang digunakan dan lokasi tepat peluru berpandu itu dilancarkan.

 

Pesawat berkenaan terhem­pas di wilayah dikuasai kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan Kiev dan disokong oleh Moscow.

 

Dua pertiga penumpang pesawat merupakan warga negara Belanda. Bencana itu mendorong sekatan negara Eropah dan Amerika Syarikat terhadap Rusia dan meningkatkan ke­te­gangan antara dua kuasa dunia itu pada ke tahap tertinggi dalam dekad ini.

 

Kumpulan penyiasat daripada Belanda, Australia, Malaysia, Belgium dan Ukraine memberi­tahu, mereka akan membentangkan rumusan ke mahkamah atau tribunal jenayah.

 

Kerajaan negara terlibat berjanji akan membawa pesalah ke muka pengadilan dan jika perlu menubuhkan tribunal antarabangsa.

 

Rusia telah menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan untuk menghalang usul bagi menubuhkan sebuah tribunal di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membicarakan kes itu. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!