Saya Terima Kekalahan, Tapi Undi Yang Diperoleh Pelik – Mat Sabu

KUALA SELANGOR – “Keputusan kekalahan saya boleh terima tetapi undi yang diperoleh itu pelik sebab sikit sangat, itu yang sedih,” kata Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini Khamis malam.

 

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata walaupun tewas, beliau akan terus dalam perjuangan Islam.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas muktamar berhenti rehat tengah hari Jumaat.

 

Ditanya mengenai keputusan keseluruhan pemilihan itu, Mohamad berkata beliau belum lagi membuat analisa mengenai keseluruhan keputusan pemilihan itu.

 

Mohamad yang hanya memperoleh 279 undi tewas dalam pertandingan satu lawan satu kepada bekas Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 881 undi.

 

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar yang gagal memenangi jawatan Naib Presiden berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat para perwakilan.

 

“Saya kira parti ini akan terus berjalan sama ada dipacu oleh mana-mana pihak dan semua akan bergerak bersama-sama,” katanya.

 

Salahuddin Ayub yang gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS, berkata kekalahan yang diterimanya itu tidak akan melumpuhkan semangatnya untuk terus berjuang kepada parti.

 

“Tidak bermakna saya kalah saya tidak boleh menyumbang kepada parti, masih banyak ruang dan peluang untuk saya dan rakan-rakan menyumbang kepada parti,” katanya.

 

Beliau mengakui trend atau gaya politiknya tidak lagi diterima perwakilan dan mereka mungkin berpendapat ia tidak lagi sesuai dengan perkembangan hari ini.

 

Jawatan Naib Presiden itu dimenangi bekas AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

 

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli yang gagal mempertahankan jawatan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, berkata keputusan pemilihan tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia selari dengan ‘trend’ calon yang telah dilakar dalam muktamar dewan parti itu.

 

“Keputusan di peringkat pusat itu mengikut trend yang telah dilakar dalam dewan tersebut, jadi ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan…saya rasa itu biasa berlaku dalam mana-mana organisasi pun,” katanya.

 

Mohd Hatta berkata perjuangannya dalam parti tidak akan terhenti hanya kerana tewas dan selepas ini beliau akan fokus kepada usaha memulihkan kawasan Parlimen Kuala Krai yang teruk dilanda banjir pada Disember tahun lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.