Saya Berhenti Berucap, Saya Patuh Undang-Undang – Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau tidak menyedari Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan program dialog ‘PM Bersama NGO – Nothing To Hide’ dibatalkan.

 

“Saya tak tahu arahan dia, saya tak dengar, apa yang saya tahu polis datang kepada saya, minta saya berhenti (bercakap),” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

 

Dialog tersebut sebelum itu diteruskan dengan Dr Mahathir menyampaikan ucapannya walaupun tanpa kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dinasihatkan oleh pihak polis supaya tidak menghadirinya atas faktor keselamatan.

 

Ucapan Dr Mahathir bagaimana pun dihentikan oleh pihak polis yang mengarahkan pihak penganjur membatalkan segera program tersebut selepas berlakunya insiden tolak menolak dan kekecohan termasuk rempuhan pintu dewan.

 

“Saya telah diminta berhenti bercakap di atas pentas kerana anda semua telah membuat bising terlalu banyak”, kata Dr Mahathir dipercayai merujuk kepada suasana kecoh dalam dan luar dewan sebelum menghentikan ucapannya.

 

Mengulas arahan pihak polis itu Dr Mahathir berkata beliau seorang yang patuh pada undang-undang dan menghormati arahan tersebut.

 

“Saya patuh kepada undang-undang, tetapi saya minta izin supaya saya dapat bercakap dengan media sahaja,” jelasnya.

 

Sementara itu dalam satu kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri menjelaskan telah dimaklumkan oleh pihak penganjur yang  program tersebut terpaksa ditangguhkan selepas menerima arahan pihak polis berikutan insiden kekecohan yang berlaku.

 

“Hal demikian disebabkan pertimbangan isu keselamatan di lokasi. Ikut arahan dan nasihat Ketua Polis Negara, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri program ini,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.