Muktamar PAS Terima Usul Putus Kerjasama Dengan DAP

KUALA SELANGOR – Muktamar PAS hari ini menerima usul Dewan Ulama PAS supaya diambil ketetapan memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP di masa yang sama PAS kekal dalam Pakatan Rakyat.

 

Menurut laporan portal berita Malaysiakini, usul tersebut telah diterima sebulat suara tanpa sebarang perbahasan oleh para perwakilan.

 

Rabu lepas Dewan Ulama PAS Pusat meluluskan usul tersebut berikutan sikap DAP yang cuba mencampuri urusan pemilihan PAS serta sering menyerang Presiden dan dasar parti itu terutama mengenai perlaksanaan hudud di Kelantan.

 

“Usul kita adalah memutuskan hubungan dengan DAP.. bukan dengan PKR atau PR.. sebab PR bukan DAP, dan DAP tidak semestinya PR.

 

“Apakah kita sebagai anak-anak dalam Pas tiada perasaan? Sanggup menyerahkan Pas dan presidennya dinodai oleh DAP? Kita sedar bahawa keberaniaan DAP ini bersumberkan kepada sikap sesetengah daripada kita yang tidak wala kepada presiden dan parti,” kata perwakilan Dewan Ulama PAS Perak, Nor Azli Musa.

 

Sementara itu, Idris Ahmad yang baru terpilih menyandang kedudukan Naib Presiden PAS menjelaskan perlaksanaan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP secara rasmi kini terletak di bahu AJK PAS Pusat untuk melaksanakannya.

 

“Ia (usul itu) tak bahaslah. Maknanya, jawatankuasa usul diterima tanpa bahas (tetapi) perlaksanaan terpulang kepada jawatankuasalah.

 

“Jawatankuasa akan tentukan macam mana nak buat,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.