Memang Saya Yang Arah Dialog PM Bersama NGO Dibatalkan – KPN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan dialog Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam dibatalkan atas alasan faktor keselamatan.

 

Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat dua kumpulan yang tidak sehaluan merancang untuk melakukan kekecohan semasa dialog itu berlangsung.

 

“Setelah mengkaji maklumat ini dan melihat penganjur majlis itu seperti tidak mengawal keadaan di dewan tersebut, saya membuat keputusan untuk membatalkan majlis itu kerana ada tanda-tanda keselamatan dan ketenteraman awam boleh terancam,” katanya pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

 

Sebelum ini, pada sebelah pagi, beliau memaklumkan menerusi Twitter bahawa polis mengarahkan sesi dialog Perdana Menteri dibatalkan.

 

Beliau berkata, pihaknya membuat keputusan itu mengikut Seksyen 103 Kanun Prosedur Jenayah untuk mencegah apa juga jenayah yang mungkin berlaku pada majlis itu.

 

“Perdana Menteri tidak tahu pada mulanya, saya difahamkan beliau sedang bersiap untuk ke majlis itu, beliau juga tidak berapa senang dan tidak bersetuju dengan tindakan saya, tetapi demi keselamatan, saya terpaksa bertegas dan memaklumkan kepada beliau berhubung pembatalan majlis itu.

 

“Ancaman itu serius, kekecohan dan ketenteraman awam akan tergugat, kita takut ia akan ‘berjangkit’ keluar, ia boleh mengancam keselamatan orang-orang tertentu, eloklah kita mencegahnya daripada berlaku,” katanya.

 

Menurutnya, penganjur juga terpaksa akur dengan keputusan polis untuk membatalkan majlis itu.

 

“Kita menahan seorang individu sebelum dibebaskan dengan jaminan, kejadian itu berlaku sebelum mulanya majlis yang telah menunjukkan bibit-bibit kekecohan,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, pihak penganjur dialog itu memutuskan untuk menangguhkan majlis tersebut disebabkan arahan itu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.