DAP Perlu Bertaubat Kerana Beri ‘Peluru’ Pada UMNO, Kata PAS

KUALA SELANGOR – Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa DAP segera bertaubat daripada terus mengakibatkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR) dengan menjadikan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai sasaran.

 

Khairuddin yang juga AJK Dewan Ulama PAS Pusat berkata DAP selama ini memberi ‘peluru’ kepada Umno dengan melancarkan serangan kepada Hadi kerana sebagai satu gabungan perkara itu tidak seharusnya berlaku.

 

“Kita tegaskan prinsip hormat menghormati. Kalau DAP pandai menghormati, maka PR itu gagah. Masalah besar kita DAP memberi ‘peluru’ kepada Umno dan DAP yang menghidupkan nyawa Umno yang hampir mati.

 

“Bila DAP menimbulkan isu menyerang presiden, mana mungkin satu pakatan boleh bergerak gagah jika kita sama kita ada sifat serang menyerang. Tak mungkin berlaku.

 

“Bagi saya DAP punca kerapuhan dalam PR. DAP kena bertaubat, balik pangkal jalan. Kita sayang PR,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider sebelum sidang muktamar PAS berhenti rehat tengah hari tadi.

 

Seorang lagi AJK PAS Pusat Nasrudin Hassan mempersoalkan tindakan terus menerus DAP yang menyerang kepimpinan PAS kerana parti Islam itu berhak memperjuangkan Islam.

 

Katanya, parti dalam PR sudah pun menggunakan pendekatan “bersetuju untuk tidak bersetuju” maka DAP tidak boleh menyekat atau menghalang gerak kerja PAS.

 

“Sekiranya DAP terus menerus menentang dan menghalang kita melaksanakan Islam, bagaimana kerjasama itu hendak diteruskan sebab perjuangan kita nak melaksanakan Islam tetapi mereka menyekat dan menghalang.

 

“Saya harap mereka hentikan serangan dan tekanan yang bukan-bukan. Kekalkan dengan MoU yang kita ada iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju.

 

“Dia tak bersetuju dengan dasar kita tak apa, itu hak dia tetapi jangan menentang. Kita ada hak kita meneruskan dasar parti,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.