JDT Buat ‘Cengei’ Tak Hormat Kedah, Satu Hari Nanti Kita Akan Tewaskan Mereka – Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Noor kesal kerana pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hadir ke Stadium Darul Aman semalam dilihat tidak menghormati tuan rumah.

Ini susulan suasana tegang tercetus dalam kalangan jurulatih dan pemain ketika perlawanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang JDT dalam Liga Super itu.

Insiden antara kedua-dua pasukan berlaku sebaik tamat babak pertama di mana kumpulan daripada JDT dilihat menerpa ke bahagian jurulatih KDA FC dan tercetus perang mulut antara mereka.

Suasana panas dan tegang itu dilihat berlarutan hingga di luar padang ketika pemain mahu memasuki laluan ke bilik persalinan.

Akhirnya sebelum perlawanan bersambung semula, suasana kembali tenang dengan Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak dilihat bersalaman dengan pemain JDT.

Sanusi, yang juga Menteri Besar Kedah, meluahkan kekecewaan dengan budaya ala samseng itu.

“Gaya dan karakter mereka tu dah boleh nampak macam nak gaduh apabila mereka hampiri tempat kita.

“Padahal mereka datang ke stadium kita dan tak hormat kita dan mereka terpa (serbu) dekat jurulatih kita dan buat cengei (bengis).

“Ini ada karakter yang tidak bagus dalam sukan dan nampak kerek, mungkin pasukan mereka kaya dan gaji mereka mahal sementara kita pula tak ada duit. Jangan kerek sangat mai tempat orang, agak-agak la,” kata beliau, menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pihak lawan tidak sepatutnya memperlakukan KDA FC seperti pasukan belasahan walaupun mereka pandai bermain bola sepak.

“Kita pun tidaklah bodoh sangat, malah kita juga hampir menjaringkan dua gol semalam yang cuma terhalang oleh tiang dan palang,” kata beliau.

Kejadian itu turut disaksikan Sanusi yang hadir mengiringi Tunku Bendahara Kedah, Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah, berangkat ke Stadium Darul Aman.

“Saya yakin satu hari nanti Kedah akan mampu menewaskan JDT, Insya-Allah … dan memang kita pernah tewaskan mereka sebelum ini,” kata Sanusi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat