Dua Premis Perniagaan Diarah Tutup, Gagal Patuhi SOP PKPB

- Advertisement -

Sebuah pasar raya dan kedai di Kulai, diarahkan tutup pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, notis penutupan dikeluarkan ke atas dua premis berkenaan berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sektor perniagaan ketika PKPB mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau berkata, dua premis di Kulai itu diarahkan ditutup semalam dalam satu operasi penguatkuasaan PKPB secara rambang yang dijalankan di tiga lokasi terpilih di daerah Kulai.

“Operasi bersepadu dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pelaksanaan PKPB bukan ‘tiket’ untuk orang ramai bergerak bebas sebaliknya ia adalah tempoh bagi kita untuk mula mempraktikkan dan menyesuaikan diri dengan normal baharu.

“Dinasihatkan semua industri termasuk peruncitan mematuhi panduan yang ditetapkan pihak berkuasa dan paling utama memastikan kebersihan premis, pengurusan pelanggan yang merangkumi aspek penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan, saringan kesihatan dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

“Ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pemilik premis terutama penutupan premis mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara langsung di akaun Facebook rasmi kerajaan Johor, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai PKPB di Johor, Vidyananthan berkata, PBT di setiap daerah akan mengeluarkan SOP mengikut kesesuaian masing-masing dalam masa terdekat.

“Walaupun pelbagai reaksi diterima, kerajaan negeri berikutan pelaksanaan PKPB di negeri ini, kita yakin keputusan bukan dibuat secara semberono, tetapi mengambil kira pelbagai sudut dan pandangan daripada semua agensi dan kementerian yang terbabit dalam pengurusan Covid-19.

“Dalam pelaksanaan PKPB, beberapa syarikat dan premis perniagaan yang ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu akan beroperasi semula dengan beberapa syarat dan peraturan khusus dengan pemantauan ketat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat