Firma Penyelidikan Moody’s Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR – Moody’s Investors Service menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus yang diunjurkan sebelumnya, didorong oleh beberapa projek infrastruktur besar yang akan merangsang pelaburan awam dan swasta.

“Kami menjangkakan purata pertumbuhan KDNK Malaysia 5.4 peratus pada 2018, lebih tinggi berbanding penengah atau median 3.5 peratus negara ekonomi yang mempunyai penarafan A, namun sedikit lebih rendah berbanding unjuran 5.5 hingga 6.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun ini,” kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan.

Moody’s berkata, peningkatan semasa dalam perdagangan dijangka tidak akan berterusan pada kadar yang sama dan perbelanjaan kerajaan dijangka tidak sekukuh yang berlaku sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

Ia berkata, Malaysia terdedah kepada beberapa langkah yang disasarkan untuk mengurangkan perdagangan global, sambil menambah bahawa meningkatnya konflik perdagangan adalah negatif kepada pertumbuhan.

“Sekatan perdagangan yang berpanjangan atau lebih agresif berbanding dengan apa yang baru-baru ini dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan China akan memberi impak kepada Malaysia secara langsung atau tidak langsung.

“Walaupun impak langsung daripada kenaikan tarif AS ke atas Malaysia adalah terhad, negara itu dan China adalah dua rakan dagangan terbesar kita selepas Singapura, dengan masing-masing merangkumi 9.5 peratus dan 13.5 peratus jumlah eksport Malaysia tahun lalu, sekali gus membayangkan pendedahan yang besar,” katanya.

Selain itu, Moody’s berkata duti import lebih tinggi ke Amerika Syarikat akan memberikan kesan sekunder ke atas Malaysia disebabkan oleh rantaian bekalannya yang bersepadu, terutama melalui China.

Ia menambah, Malaysia mungkin akan terjejas oleh peralihan dalam permintaan dan bekalan, selain dinamik harga input utama, termasuk komoditi.

Mengenai PRU-14, Moody’s berkata implikasi kredit akan ditentukan oleh impak keputusan pilihan raya ke atas dasar sedia ada kerajaan, khususnya berkaitan pengukuhan fiskal dan trend hutang.

“Walaupun risiko politik domestik meningkat beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak menjejaskan pembaharuan dasar, kerana kerajaan sudah menunjukkan komitmen terhadap sasaran pengurangan defisit fiskal sejak pilihan raya terdahulu,” katanya.

Barisan Nasional (BN) dan parti utama pembangkang, Pakatan Harapan (HP) sudah memperkenalkan manifesto masing-masing dan program perbelanjaan khusus, yang disasarkan kepada asas pengundi utama.

Langkah berkenaan termasuklah menaikkan gaji minimum, pemberian tunai lebih tinggi dan bantuan kepada peneroka FELDA.

Moody’s percaya impak program berkenaan terhadap kedudukan kredit kerajaan adalah bergantung kepada caranya dibiayai dan sama ada ia akan memberikan kesan negatif dengan menangguhkan usaha sedia ada untuk mengukuhkan fiskal. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.