Putera Philip Umum Persaraan

LONDON – Putera Philip, 95 yang merupakan suami Ratu Elizabeth II tidak lagi akan menghadiri majlis rasmi, demikian menurut pengumuman Istana Buckingham.

Menurut Agensi, putera Philip yang setia di samping Ratu Elizabeth II sepanjang 65 tahun pemerintahannya dan dikenali sebagai Duke of Edinburgh, akan berhenti menerima undangan rasmi mulai September depan, kata pihak istana.

Ratu Elizabeth II, 91, yang beransur-ansur mengurangkan kehadiran dalam majlis rasmi sejak beberapa tahun lalu akan meneruskan tanggungjawab beliau dengan sokongan kerabat diraja Britain.

“Duke of Edinburgh telah memutuskan untuk tidak lagi membuat kemunculan di majlis awam mulai musim luruh tahun ini.

“Keputusan ini mendapat sokongan penuh Ratu Elizabeth II,” kata kenyataan Istana Buc­kingham.

“Namun, Putera Philip akan tetap menghadiri atur cara yang dijadualkan setakat Ogos depan, sama ada secara perseorangan atau menemani Ratu Elizabeth II,” tambah kenyataan sama, lapor Kosmo.

Ratu Elizabeth II dan Putera Philip dijangka meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70 pada November depan. Putera Philip juga akan menyambut hari lahir ke-96, bulan depan.

Menurut rekod, Putera Philip menghadiri sebanyak 200 acara rasmi pada tahun 2016.

Namun, dalam satu wawancara bersama Perbadanan Penyiaran Britain sewaktu Putera Philip meraikan ulang tahun kelahiran ke-90 pada 2011, putera itu berkata, masanya sudah tiba untuk beliau melepaskan tanggungjawabnya.

Putera berkenaan mahu berehat dan tidak terikat dengan atur cara diraja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.