Lim: Siasatan Skandal Forex Bongkar ‘Bangkai Gajah’

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, mengingatkan pasukan penyiasat kerugian dagangan tukaran matawang asing (forex) bahawa mereka berdepan dengan “bangkai gajah”.

Mendedahkan kenyataan yang diberikannya kepada anggota pasukan penyiasat itu kepada media di Putrajaya hari ini, Lim berkata “gajah yang masih hidup” dan perlu diteliti mereka ialah skandal 1MDB.

“Mereka bertanya (saya) siapa yang terbabit dan siapa yang tidak terbabit, siapa yang ada maklumat (mengenai skandal forex itu).

“Semua maklumat yang saya ada, sudah saya dedahkan kepada umum dalam ucapan saya di parlimen (suatu ketika dulu),” katanya.

Skandal yang didakwa asalnya menyebabkan kerugian sebanyak RM9.3 bilion itu berlaku antara 1989 dan 1993 apabila Bank Negara terlibat dalam dagangan forex.

Laporan Reuters pada 1991 malah memetik peniaga matawang sebagai berkata, Bank Negara adalah antara pemain utama dalam forex.

Walau bagaimanapun, butiran urusan Bank Negara kekal tidak jelas hingga hari ini, dan tidak ada sebarang siasatan setakat ini – sekurang-kurangnya tidak yang diketahui umum.

Perdana menteri ketika itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan pada 15 Februari lalu mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian berkenaan.

Pada 14 Mac lalu kerajaan mengumumkan anggota panel pasukan penyiasat berkenaan iaitu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Azam Baki; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah San; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Tan Sri Ranjit Ajit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengerusi Bersama, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Tan Sri Saw Choo Boon dan peguam kanan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail pula dilantik sebagai setiausaha pasukan petugas khas itu.

Menurut Lim, punca utama kepada skandal berkenaan ialah pihak yang terlibat dalam aktiviti itu gagal mempertahankan prinsip urus tadbir yang baik serta bertanggungjawab.

“Itu adalah pengajaran yang mesti kita ambil untuk skandal 1MBD.

“Perkara mendesak yang mesti kita tangani ialah gajah yang ada di depan mata, iaitu skandal kleptokratik 1MDB.

“Adakah kita perlu menunggu 25 tahun lagi sebelum menubuhkan pasukan penyiasat khas mengenai 1MDB? Pada masa itu ia mungkin sudah menjadi bangkai 1MDB,” katanya.

Lim yang menjadi ketua pembangkang ketika skandal itu berlaku turut menegaskan, panel terbabit perlu memanggil beberapa pemimpin utama negara termasuk Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Najib adalah seorang daripada menteri kanan pada waktu itu.

Tokoh lain yang perlu didapatkan kenyataannya, kata Lim, ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad yang ketika itu bertugas sebagai setiausaha parlimen Kementerian Kewangan, dan Anggota Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul (setiausaha parlimen Jabatan Perdana Menteri).

Pada 20 April lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang memberi keterangan kepada panel berkenaan – menamakan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian daripada aktiviti forex itu.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.